
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya mengutamakan integriti serta berkempen berasaskan fakta, dasar dan rekod prestasi, bukannya mencetuskan perang persepsi atau memainkan sentimen politik.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perbezaan pendapat dan kritikan merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi, namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang dan bertanggungjawab.
“Semua dakwaan serta kritikan yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen perlu disokong dengan bukti dan tidak mengelirukan rakyat.
“Politik seharusnya menjadi medan pertandingan idea serta penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif atau melakukan serangan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
MCW turut mengingatkan semua parti supaya menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil dengan mengelakkan penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam yang boleh menimbulkan persepsi memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.
Dalam masa sama, pertubuhan itu menyeru pengundi di Johor supaya membuat penilaian berdasarkan integriti calon, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan serta komitmen mereka dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
“Politik boleh berbeza warna tetapi integriti mesti menjadi prinsip bersama,” katanya.
MCW berharap PRN Johor menjadi platform untuk rakyat menilai tawaran dasar dan penyelesaian yang dikemukakan oleh setiap parti, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang sihat dan berintegriti.


