SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk membenarkan surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini mengadakan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor dalam urusan pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Beliau berkata, hal ehwal berkaitan masjid dan surau berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Manakala penubuhan masjid, surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai tempat ibadah turut memerlukan kebenaran bertulis daripada MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau pusat beli-belah berpotensi menjejaskan usaha mengimarahkan masjid dan surau yang telah diberi kebenaran sedia ada kerana jemaah mempunyai pilihan lain untuk menunaikan ibadah tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Salehuddin, jika surau di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia berpotensi menjejaskan usaha memakmurkan masjid dan surau solat Jumaat sedia ada kerana jemaah mempunyai pilihan lain untuk menunaikan solat Jumaat.
Salehuddin berkata, ketika ini Selangor mempunyai 448 masjid dan 379 surau yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat, dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk memenuhi keperluan umat Islam di seluruh negeri.
“Kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berhampiran masjid atau surau solat Jumaat yang memudahkan orang ramai menunaikan ibadah berkenaan,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan bahawa pelaksanaan solat Jumaat lebih sesuai diadakan di masjid dan surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya berada dalam kawasan perniagaan, hiburan dan rekreasi.
Selain itu, katanya, MAIS perlu mengambil kira aspek tadbir urus termasuk pelantikan imam, bilal dan petugas sekiranya kebenaran diberikan.
“Jika petugas tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan pemantauan termasuk memastikan pematuhan terhadap pengurusan surau serta keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Salehuddin memaklumkan hanya sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor ketika ini dibenarkan mengadakan solat Jumaat secara sementara berikutan ketiadaan masjid berhampiran.
“Kebenaran itu akan ditarik balik sebaik sahaja sebuah masjid dibina di kawasan berkenaan yang mampu menampung keperluan jemaah setempat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, dakwah serta penyatuan ummah.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan mengalu-alukan semua negeri mempertimbangkan pelaksanaan solat Jumaat di surau pusat beli-belah susulan sambutan baik terhadap inisiatif itu di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.




