BATU PAHAT – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 disifatkan sebagai pilihan raya paling mengelirukan dalam sejarah politik negara berikutan percanggahan kerjasama parti di peringkat negeri dan Persekutuan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sebahagian pengundi janggal apabila Barisan Nasional (BN) bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) di Johor walaupun kedua-dua gabungan bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih rumit apabila Pas dan Bersatu masih menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) meskipun hubungan politik antara kedua-dua parti sudah berubah, selain kemunculan Parti Bersama yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Saya rasa tidak ada satu pilihan raya yang paling pelik dan paling mengelirukan dalam sejarah politik kita melainkan PRN Johor ini. Sesetengah orang berpandangan ia agak mengelirukan.
“Tetapi, kekeliruan ini saya yakin akan dapat diselesaikan dan diatasi oleh PH dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Johor ke Depan, Undi Harapan di Lot Kereta Medan Selera Senggarang, pada Rabu.
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap calon PH DUN Senggarang, Onn Abu Bakar.
Dalam pada itu, Mujahid berkata, pihak lawan terus memainkan sentimen kaum dan agama dengan menjadikan DAP sebagai sasaran serangan politik bagi mewujudkan kebencian antara masyarakat, khususnya orang Melayu dan Cina.
Menurut beliau, sentimen sedemikian sengaja dimainkan bagi memecah-belahkan perpaduan rakyat supaya kita membenci antara satu sama lain, mereka jadikan DAP sebagai ‘punching bag’.
“Bahkan apabila dakwaan mereka dibawa ke mahkamah, akhirnya yang menang adalah dituduh, bukan penuduh.
“Mainan yang dikelirukan lagi dengan realiti politik di hadapan kita adalah apa? Mereka menggunakan isu kaum dan agama, kita lihat bagaimana mereka menyerang dengan mengatakan ‘DAP jahat’.
“Kata apa pun DAP tetap wujud sebagai sebuah entiti politik yang sah berdaftar, mempunyai kerajaan negeri di Pulau Pinang dan jumlah ahli Parlimen yang signifikan. Apa sahaja kita kata, sebenarnya dari sudut undang-undang tiada isu pun,” katanya.






