
KUCHING – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak menyambut baik keputusan membatalkan arahan kawalan jualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di negeri ini.
Pengerusinya yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang berkata, langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan had pembelian harian itu amat melegakan penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau menuntut kerajaan supaya melaksanakan kajian yang lebih teliti terhadap kumpulan sasar pengguna bahan api bagi mengelakkan ketirisan.
“Pemantauan itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu tidak membebankan penjawat awam di negeri itu, terutamanya warga pendidik.
“Bagi perancangan masa hadapan, saya mencadangkan agar KPDN berhubung terus dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengenal pasti sekolah dan guru yang benar-benar memerlukan bekalan diesel serta petrol RON95,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan diesel untuk menghidupkan enjin jana kuasa elektrik di sekolah pedalaman serta petrol RON95 bagi kegunaan bot bermotor untuk perjalanan ke kawasan sekolah juga harus dipantau.
“Faktor geografi Sarawak amat luas dan masih banyak kawasan yang dikelilingi hutan serta sungai,” jelasnya mewakili seluruh penjawat awam di negeri tersebut.
Sementara itu, katanya,KPDN turut disarankan untuk menjalinkan kerjasama dengan semua jabatan kerajaan di negeri berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan rekod penjawat awam yang menjadi pengguna tegar bahan api.
Langkah proaktif ini disifatkan mampu menjadi rujukan tepat kementerian supaya keputusan pada masa depan bersifat lebih inklusif.





