BATU PAHAT – Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menyifatkan sambutan pengundi terhadap calon-calon Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepanjang empat hari berkempen amat memberangsangkan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan positif yang diterimanya ketika turun berkempen bersama beberapa calon PH.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, kadar keluar mengundi pada 11 Julai depan sebagai cabaran paling besar yang bakal menentukan keputusan pilihan raya.
“Saya rasa saya sudah teman beberapa orang calon untuk buat walkabout atau pergi ke ceramah. Saya sebenarnya rasa sokongan daripada rakyat masih sangat padu.
“Jadi bagi saya, cabaran yang terbesar mestilah adalah pengundi-pengundi yang keluar undi pada 11 Julai,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui selepas Ceramah Pakatan Harapan (PH) DUN Penggaram di Miao Huang Restoran, pada Selasa.
Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Felicia Poh Rui Ling.

Mengulas mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara berasingan di peringkat negeri walaupun membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, Nie Ching berkata, pengundi mampu menilai landskap politik semasa dengan matang.
Menurut beliau, rakyat kini lebih bijak membuat pertimbangan berdasarkan perkembangan politik semasa dan memahami perbezaan antara kerjasama di peringkat Persekutuan dengan persaingan di peringkat negeri.
“Saya rasa pengundi-pengundi adalah sangat cerdik, mereka sangat bijaksana. Jadi mereka akan lihat dan buat penilaian mereka. Yang pilih untuk membubarkan dun Johor adalah Barisan Nasional.
“Yang memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ialah BN. Walaupun kita (PH dan BN) masih kekal sebagai rakan strategik dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, terpulang kepada BN untuk menjelaskan mengapa mereka membuat keputusan itu,” katanya.


