BATU PAHAT – Rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Pas dan Bersatu Johor dipercayai semakin memuncak apabila sebahagian jentera didakwa enggan turun membantu kempen calon Pejuang yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sumber daripada Pas memaklumkan, tindakan berkenaan berpunca daripada kekecewaan terhadap keputusan pucuk pimpinan PN yang memberi peluang kepada parti komponen baharu di Bukit Gambir, sekali gus mengenepikan pemimpin Pas dan Bersatu yang telah sekian lama bekerja di kawasan tersebut.
Menurut beliau, keputusan itu sukar diterima oleh sebahagian besar jentera akar umbi kerana ramai dalam kalangan mereka sudah lama menggerakkan kerja politik di kawasan masing-masing, termasuk mendekati pengundi, menyelesaikan isu setempat dan membina rangkaian sokongan sejak bertahun-tahun.
“Dari awal kami yang turun padang bertemu pengundi, menyantuni masyarakat dan menggerakkan program di kawasan. Apabila tiba masa menentukan calon, nama calon kami di sini diketepikan kerana mahu memberi ruang kepada parti komponen baharu. Sudah tentu ramai yang kecewa.
“Kekecewaan itu kini diterjemahkan dalam bentuk protes senyap apabila sebahagian jentera memilih untuk tidak terlibat secara aktif sepanjang tempoh berkempen, malah ada yang mengambil keputusan untuk tidak turun membantu calon Pejuang.
“Walaupun calon Pejuang telah menafikan itu hanyalah wayang dia kepada media. Ini bukan soal kami menolak PN. Kami tetap mahu gabungan ini berjaya, tetapi keputusan memilih calon perlu mengambil kira jasa dan pengorbanan mereka yang sudah lama mengukuhkan parti di kawasan masing-masing,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan, sentimen tersebut turut dipengaruhi tanggapan bahawa calon daripada Pejuang tidak mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan jentera tempatan kerana kebanyakannya tidak bersama mereka ketika mengharungi pelbagai program politik sebelum ini.
Beliau mendakwa terdapat juga penyokong yang berpendapat keputusan memberi laluan kepada parti komponen baharu itu dibuat atas pertimbangan politik di peringkat tertinggi tanpa mengambil kira pandangan pemimpin serta jentera di peringkat bahagian dan cawangan.
“Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan moral akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang kepada gerak kerja pilihan raya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap komitmen jentera di beberapa kerusi yang ditandingi PN.
“Kepimpinan tertinggi PN perlu mengambil serius suara akar umbi kerana kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada calon, sebaliknya turut ditentukan oleh kesatuan dan semangat jentera yang menjadi nadi kepada keseluruhan kempen pilihan raya.
“Ini menjadi manifesto kepada pemimpin agar jangan sesuka hati meletakkan calon tanpa sebarang perbincangan dengan pemimpin peringkat bahagian dan kawasan. Kena ada perbincangan, jangan main nak letak sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Pejuang mengumumkan calon tunggal yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 adalah Suraya Sulaiman.
Suraya adalah Ketua Penerangan Pejuang Johor yang juga anak tempatan berasal dari Gersik, Tangkak yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
Sebelum ini, Suraya dilihat sering bergerak dalam kumpulan kecil ketika berkempen, selain wujud desas-desus kononnya pemilihan beliau bagi mewakili PN di kerusi itu dibantah beberapa pihak di dalam Pas dan Bersatu di kawasan Gambir.
Spekulasi itu diperkukuhkan lagi apabila bahan kempen PN seperti poster dan banting bagi mempromosikan Suraya dan PN seolah-olah tidak kelihatan atau tenggelam di sekitar DUN Gambir.






