
KUALA NERUS – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia yang menyaksikan pertemuan rasmi dengan Presiden Vladimir Putin dilihat sebagai satu langkah diplomasi strategik yang mampu membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara, khususnya dalam sektor ekonomi, teknologi dan keselamatan makanan.
Pensyarah Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Rohila Ganti berkata, pertemuan tersebut membuktikan pendekatan dasar luar Malaysia yang pragmatik dan berorientasikan kepentingan nasional tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa dunia.
Menurut beliau, hubungan yang lebih erat dengan Rusia mampu memberikan manfaat besar kepada Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
“Komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan minyak merupakan perkembangan positif yang dapat membantu menjamin kestabilan bekalan serta keselamatan tenaga negara dalam jangka panjang,” katanya ketika ditemu bual wartawan The Malaysia Press.
Beliau menjelaskan bahawa perbincangan yang melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, keselamatan siber, pertanian moden dan farmaseutikal menunjukkan kesediaan Malaysia untuk meneroka sektor ekonomi bernilai tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan masa hadapan.
“Kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan keupayaan negara, malah mampu mempercepat proses pemindahan ilmu, pembangunan bakat tempatan serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam aspek perdagangan pula, Wan Rohila berpandangan bahawa cadangan mempermudah urusan visa dan memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala seperti Ringgit dan Ruble boleh mengurangkan kebergantungan kepada mata wang pihak ketiga serta memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Katanya, langkah tersebut juga berupaya meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan, sekali gus memberikan limpahan manfaat kepada sektor perniagaan dan rakyat.
Mengulas mengenai isu geopolitik antarabangsa, beliau berkata, pendirian Rusia yang konsisten terhadap isu kemanusiaan di Gaza turut menjadi antara faktor yang memperkukuh persefahaman antara kedua-dua negara dalam beberapa isu global yang penting.
“Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan, keamanan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa. Oleh itu, dialog berterusan dengan pelbagai negara termasuk Rusia adalah penting bagi memastikan suara negara membangun terus didengari dalam forum antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, lawatan Perdana Menteri ke Rusia membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memperluaskan jaringan diplomatik dan ekonomi negara bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan, berdaya saing serta mampu merebut peluang baharu dalam landskap geopolitik dan ekonomi global yang sentiasa berubah.






