Pengundi Johor pilihlah pemimpin bijak, sealiran dengan kerajaan pusat

MUAR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad memenangkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri selari dengan kepimpinan pusat.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu bertujuan memastikan pembangunan yang dilaksana di negeri ini dapat mencapai sasaran ditetapkan khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor memilih pemimpin yang bijak dan tidak sombong bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah selain ciri kepemimpinan seumpama itu amat penting agar keputusan yang berani boleh dibuat kerana Johor adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Buat apa nak sombong, gaduh? Kita perlu pilih pemimpin yang bijak. Kita mahu wakil rakyat di negeri, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), EXCO yang ambil tahu masalah rakyat. Kita mahu ketua di negeri, macam PM (Perdana Menteri) yang menyerlah.

“Keutamaan saya adalah untuk bantu rakyat Malaysia, sebab itu saya baik dengan Amerika Syarikat, baik dengan China. Kalau tanya mengapa PRN Johor penting, sebab saya mahu Johor sealiran dengan pusat.

“Ini penting, kita mahu Johor sama (dengan pusat) agar senang berunding, senang tolong-menolong dan senang berbincang. Ini sebahagian negara kita, apa yang rakyat Johor mahukan kita boleh pilih laksanakan yang terbaik. Sebab itu saya mahu PH menang di Johor,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan di Pekan Bukit Bakri, malam Isnin.

Tambah beliau, pentadbiran beliau tidak melakukan inisiatif menyantuni rakyat semata-mata kerana bakal berdepan pilihan raya, sebaliknya usaha itu dibuat sejurus PH memenangi pilihan raya.

“Kita ambil tahu masalah rakyat, bukan tunggu waktu mahu adakan pilihan raya sahaja. Masa saya laksana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) lepas menang pilihan raya, kerana orang susah tiada duit mahu beli susu anak tidak boleh tunggu.

“Bantuan juga dimasukkan terus ke dalam akaun, tidak perlu beratur berjam-jam. Ini saya memang tidak suka, orang ramai termasuk warga emas kena beratur untuk dapatkan bantuan. Jika 50 tahun dahulu mungkin boleh begitu.

“Sebab itu pemimpin Johor mestilah seorang individu yang berani dan bijak, dia juga mesti tahu bahawa Johor adalah sebahagian daripada Malaysia. Apa yang kita (kerajaan pusat) buat adalah untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pentingnya kerajaan Johor sealiran dengan pusat kerana memudahkan sebarang rundingan, perbincangan berkaitan dasar negara.

Katanya, Johor adalah antara negeri terkaya namun masih terdapat banyak infrastruktur yang perlu diperhatikan.

“Negeri ini, negeri kaya, petang tadi saya pergi sekolah dan dia (pengurusan) kata teruk, kantin pun dah rosak. Anak hendak makan pun tak ada tempat.

“Masalah banjir di Muar saya tolong. Berapa ratus juta saya bagi untuk projek tebatan banjir dan saya lulus untuk bantu anda. Sekarang sudah hampir siap dan banjir sudah terkawal,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan segelintir pemimpin politik yang masih memainkan sentimen kebencian antara kaum untuk meraih undi dan sokongan golongan tertentu.

“Kalau kita sama-sama berpakat, kita sama-sama akan meraih keuntungan. Jangan ikut kata ahli politik yang pergi tempat Melayu tetapi marah-marah orang Cina. Ingat mereka betul-betul tolong orang Melayu ke, mereka kayakan diri sendiri dahulu.

“Hendak berpolitik jangan gunakan sentimen kebencian, sebaliknya fikirkan apa yang hendak dibuat dengan negara, fikir masa depan bukan isu Melayu, Cina, India, kuil. Kalau berpolitik hari-hari gaduh, bila negara akan maju.

“Oleh itu marilah kita sama-sama membangunkan negara ini, rakyat Johor diluar negeri, di Singapura baliklah mengundi. Setiap undi itu penting, jangan pandang ringan kerana kita mahu bawa perubahan,” katanya.

Anwar turut memberitahu, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Rusia dan Turkmenistan selama beberapa hari bermula esok sebelum kembali semula dan membantu jentera PH berkempen di Johor bagi memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu.

Related Posts

Radzi, Azmin digugurkan jawatan utama PN serta-merta

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pengguguran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Krisis PN dijangka berpanjangan, risiko libatkan ROS dan mahkamah jika tiada kata sepakat

KRISIS dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat sekiranya PAS dan Bersatu gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

12 gajah liar ancam penduduk kampung berjaya dipindahkan ke habitat asal

12 gajah liar ancam penduduk kampung berjaya dipindahkan ke habitat asal

Keputusan STPM 2025 Sabah catat peningkatan prestasi

Keputusan STPM 2025 Sabah catat peningkatan prestasi

Sindiket penyelewengan tumpas, diesel dan aset bernilai lebih RM131,000 disita

Sindiket penyelewengan tumpas, diesel dan aset bernilai lebih RM131,000 disita

Penyeludupan petrol di sempadan Kelantan-Thailand terkawal

Penyeludupan petrol di sempadan Kelantan-Thailand terkawal

Anwar puji pendirian tegas Putin mengenai Gaza dan Iran

Anwar puji pendirian tegas Putin mengenai Gaza dan Iran

Apabila sentimen mengatasi fakta

Apabila sentimen mengatasi fakta