
KUCHING – Sebanyak 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dimenangi tanpa bertanding oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sekali gus mencatat jumlah kemenangan tanpa bertanding tertinggi dalam sejarah pilihan raya negeri itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah tersebut mengatasi rekod terdahulu dan merupakan sebahagian daripada proses demokrasi apabila penyertaan dalam pilihan raya bergantung kepada keputusan parti politik serta individu yang berhasrat bertanding.
“Ini sebahagian daripada demokrasi sebenarnya,” sidang media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2026 pada Sabtu.
Menurutnya, SPR bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya berdasarkan peraturan yang ditetapkan tanpa menentukan pihak yang memilih untuk bertanding atau tidak menyertai pertandingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramlan menjelaskan bahawa SPR turut mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung persoalan sama ada kerajaan negeri boleh dibentuk lebih awal sekiranya sesebuah gabungan memperoleh majoriti mudah melalui kemenangan tanpa bertanding.
Beliau berkata, berdasarkan pandangan yang diterima, keseluruhan proses pilihan raya perlu diselesaikan sebelum urusan pembentukan kerajaan dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, proses pengundian bagi kawasan DUN yang masih mempunyai pertandingan akan diteruskan mengikut jadual ditetapkan.
Dalam pada itu, Ramlan mengingatkan pengundi di 29 kawasan yang telah dimenangi tanpa bertanding supaya menyemak status kawasan masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan menjelang hari pengundian.
Menurutnya, pengundi di kawasan berkenaan tidak perlu hadir untuk mengundi bagi kerusi DUN masing-masing pada 12 Disember kerana keputusan telah ditentukan melalui proses penamaan calon.
Beliau berkata, penyebaran maklumat yang tepat penting bagi memastikan pengundi mengetahui sama ada kawasan mereka masih terlibat dalam proses pengundian.
“Sila semak dengan pelbagai maklumat termasuk MySPR,” katanya.
Ramlan turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat pilihan raya melalui saluran rasmi SPR, termasuk aplikasi MySPR Semak.
Berdasarkan jumlah keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak, kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi bermakna 53 lagi kerusi masih mempunyai pertandingan.
Sementara itu, majoriti mudah dalam DUN Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 42 kerusi.
PRN Sarawak ke-13 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember 2026, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember.



