
LIMBANG – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datu Jack Liam dengan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Peri Lusong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Kedudukan pertandingan itu disahkan selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Stadium Tertutup Limbang ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Jack yang merupakan anak kelahiran Kampung Bidang serta bekas Kontroler Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak tampil sebagai muka baharu GPS bagi menggantikan penyandang, Datuk Paulus Palu Gumbang yang mewakili kawasan itu selama empat penggal sejak 2006.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, Paulus mempertahankan kerusi DUN Batu Danau atas tiket GPS dengan majoriti 706 undi selepas memperoleh 3,030 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 8 Disember.



