
SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya segera menyambung tugas selepas bercuti susulan keputusan mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet pada 10 November lalu.
Anwar berkata, beliau menghormati dan memahami alasan dikemukakan Loke, namun berpendapat tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara perlu menjadi keutamaan.
Malah, beliau menyifatkan prestasi Anthony sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan sebagai baik dan membanggakan, sekali gus menyebabkan beliau sukar menerima hasrat peletakan jawatan itu.
“Prestasi beliau baik, membanggakan. Jadi sebab itulah saya, selaku Perdana Menteri, sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan.
“Menteri Pengangkutan masih bercuti. Tapi saya arahkan mesti hadir majlis ini kerana Kementerian Pengangkutan menjadi tuan rumah bersama dengan Kerajaan Negeri Sembilan. Dia bercuti dan saya telah minta dia sambung kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Yakin MADANI ‘Memaknai Harapan Rakyat’ di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Anthony Loke; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said.
Justeru, beliau menegaskan sebarang alasan tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab seorang pemimpin untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdi kepada rakyat dan negara,” katanya.
Pada 10 November lalu, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen DAP lain menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.



