
LAWAS – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam di Kampung Sinampuan, Sundar pada awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, dalam insiden sekitar jam 3.30 pagi itu, mangsa dipercayai diserang oleh suspek yang dikenal pasti sebagai Mohd Raimmy Jumat, 38.
Menurut beliau, suspek didakwa menyerang mangsa menggunakan senjata tajam sehingga mengakibatkan kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Setakat ini, motif kejadian masih belum dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
“Polis memohon kerjasama orang awam untuk menjejaki individu terbabit (Mohd Raimmy) yang direkodkan mempunyai alamat terakhir di Kampung Belimbing, Jalan Punang, Lawas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, Liong menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan individu berkenaan agar segera menghubungi pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Hanannizam Noor Affandi di talian 013-8997297 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.





