
KUANTAN – Tindakan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu seperti diumumkan lewat malam tadi bukan sesuatu yang mengejutkan.
Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad bagaimanapun menyifatkan keputusan parti berimejkan Islam itu agak pelik.
“Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada bulan Februari, lebih kurang tiga bulan pegang jawatan, tiba-tiba Pas buat pengumuman ini.
“Samsuri baru nak tunjuk perform sebagai Pengerusi PN, Pas tendang Bersatu pula,” katanya.
Beliau berkata, keputusan dibuat Pas itu juga bakal membawa kesan terhadap persiapan gabungan PN dalam berdepan pilihan raya negeri Johor.
Katanya, perkara itu juga menimbulkan persoalan sama ada PN masih wujud atau sudah berkubur.
Semalam, Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi, selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan, berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah.









