
KOTA BELUD – Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Taib Isai, mengumumkan keluar daripada parti itu bersama beberapa pemimpin dan ahli di pelbagai peringkat berikutan hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti.
Mohd Taib yang juga Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti untuk menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
”Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti untuk menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
”Ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana suara mereka tidak lagi diberi perhatian dan parti dilihat semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Menurut Mohd Taib, keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkan berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah satu agenda pembangunan negeri menjadi faktor utama keputusan berkenaan.
”Saya percaya kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah satu agenda yang jelas untuk membangunkan Sabah.
”Pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa oleh beliau memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
”Atas keyakinan tersebut, kami mengambil keputusan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Noor dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
”Saya juga percaya gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dan lebih ramai lagi pimpinan serta ahli Warisan di pelbagai peringkat akan mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat kerana mereka mahukan sebuah perjuangan yang lebih stabil, progresif dan berfokus kepada kepentingan Sabah,” kongsinya.
Antara pemimpin Warisan yang turut meninggalkan parti ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah serta beberapa bekas dan pemimpin bahagian dari Kota Belud dan Kudat.
Turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat ialah beberapa ketua pusat daerah mengundi (PDM) dan pemimpin akar umbi dari kawasan Kota Belud serta Kudat.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi perubahan landskap politik Sabah menjelang persiapan parti-parti politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.




