
MIRI — Orang ramai dinasihatkan supaya membeli bekalan air minuman mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik akibat gangguan bekalan air berjadual selama 36 jam yang bermula pada 10 Jun ini.
Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, masyarakat tidak perlu bimbang bekalan air minuman kerana stok ditambah secara aktif oleh pasar raya dan pembekal tempatan.
Beliau berkata bekalan tambahan turut dibawa masuk dari luar Miri untuk memastikan keperluan pengguna mencukupi sepanjang tempoh gangguan tersebut.
“Hasil perbincangan dengan pasar raya dan pembekal tempatan mendapati stok air minuman sedang ditambah secara aktif dan bekalan baharu akan terus tiba dalam beberapa hari akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kebanyakan isi rumah hanya perlu menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk tujuan minuman dan memasak, manakala air bagi kegunaan harian seperti mandi, mencuci dan keperluan lain boleh disimpan lebih awal menggunakan baldi, bekas simpanan atau tangki air.
Adam berkata, gangguan bekalan air itu merupakan sebahagian daripada kerja penyelenggaraan yang telah dirancang dan dijangka berlangsung selama kira-kira 36 jam sahaja.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membeli mengikut keperluan sebenar agar bekalan yang ada dapat dikongsi bersama dan mencukupi untuk semua keluarga.
Sementara itu, beliau menyeru peniaga supaya terus mengamalkan tanggungjawab sosial dengan mengekalkan harga yang berpatutan serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Marilah kita bersama-sama bersikap tenang, saling memahami dan bertindak secara bertanggungjawab.
“Dengan kerjasama semua pihak, kita pasti dapat mengharungi gangguan sementara ini dengan lancar,” ujarnya.
Gangguan bekalan air berjadual itu akan melibatkan beberapa kawasan di Miri susulan kerja penyelenggaraan sistem bekalan air yang dilaksanakan oleh pihak berkaitan.







