
LABUAN – Wartawan Asia Times, Adam Kong Jeng Li, 38, yang memerlukan kaki palsu baharu bagi menggantikan alat sedia ada yang semakin uzur, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM, hari ini.
Menurut kenyataan Sekretariat HAWANA 2026, Adam dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanan dan menggunakan kaki palsu sejak berusia lapan tahun.
“Kaki palsu yang digunakannya ketika ini sudah berusia lebih tujuh tahun dan perlu diganti kerana keadaannya semakin uzur.
“Keadaan ini menjejaskan keselesaan serta pergerakan hariannya, selain menyukarkan beliau melaksanakan tugasan kewartawanan di lapangan,” kongsi kenyataan tersebut pada Rabu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan itu ketika menziarahi Adam yang berkhidmat dengan akhbar berkenaan sejak 2023.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Shukri Ishak.
Tabung Kasih@HAWANA X TM diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM), dengan 90 pengamal media menerima manfaat sejak diperkenalkan pada Jun lalu.
Secara keseluruhan, Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA sejak April 2023 sudah memanfaatkan 860 pengamal media di seluruh negara.







