
TAWAU – Isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tidak boleh hanya bergantung kepada penambahan jumlah penempatan di atas kertas, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Beliau berkata, laporan bahawa hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan (34 peratus) dari luar Sabah melapor diri setakat ini membuktikan bahawa dasar pengagihan tenaga kesihatan ke Sabah berada pada tahap membimbangkan.
“Kita memerlukan penyelesaian jangka panjang yang bukan sahaja sekadar menghantar doktor ke Sabah, tetapi juga memastikan mereka mempunyai sebab yang kukuh untuk datang dan berkhidmat di Sabah.
“Kesihatan rakyat Sabah adalah taruhan yang terlalu besar untuk kita hanya bertindak apabila keadaan sudah menjadi kritikal,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Sehubungan itu, Suryady mendesak tiga tindakan segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengambil tindakan segera termasuk membentangkan data rasmi jumlah sebenar pegawai yang melapor diri di hospital, Klinik Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebaik tempoh lapor diri tamat.
“Kaji semula insentif dan kos logistik termasuk semakan semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW), subsidi perumahan, elaun perpindahan keluarga, dan keutamaan latihan kepakaran bagi mereka yang berkhidmat di Sabah.
“Penyelesaian jangka panjang yang paling mampan adalah melantik, menyerap ke jawatan tetap dan mengekalkan anak jati Sabah yang berkelayakan dalam perkhidmatan perubatan.
“KKM dan JPA perlu memberi keutamaan kepada graduan tempatan untuk mengisi kekosongan di negeri sendiri sebagai sebahagian daripada agenda Borneonisasi selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.
Menurut Suryady, keengganan melapor diri adalah simptom kepada masalah yang lebih besar iaitu ekosistem penempatan yang lapuk, kebajikan yang tidak kompetitif dan ketiadaan jaminan kerjaya yang jelas.
“Sabah mempunyai cabaran geografi. Jika fasiliti kesihatan di negeri ini terus mengalami defisit tenaga kerja, doktor sedia ada akan mengalami kelesuan melampau (burnout) dan rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Parlimen Kalabakan akan menanggung akibatnya melalui kelewatan rawatan kecemasan.
“Sebagai Ahli Parlimen Kalabakan, saya akan terus menyuarakan isu ini untuk perhatian Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.






