
KANGAR – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama di Perlis akan memberi tumpuan kepada bangunan asrama terlebih dahulu bagi mempertingkatkan aspek pengawasan dan keselamatan pelajar.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Ishak Awang berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan penerimaan peruntukan khusus daripada Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini.
Katanya, skop pemasangan buat masa ini hanya membabitkan bangunan asrama dan belum diperluaskan ke blok sekolah lain.
“Kita mendapat peruntukan daripada kementerian untuk memasang CCTV khusus bagi sekolah yang ada asrama bagi tujuan pemantauan dan keselamatan pelajar asrama itu sendiri.
“Pemasangan ini belum membabitkan bangunan sekolah, sebaliknya kita hanya fokus di asrama sahaja buat masa ini. Perancangan perluasan ke bangunan sekolah bergantung kepada peruntukan KPM kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026 dan Kempen Internet Selamat sempena Anugerah Duta Tahun 2026 Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Menurut Ishak, keutamaan pemasangan CCTV di kawasan asrama dibuat bagi memperkukuh pemantauan terhadap pelajar yang tinggal di situ.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai garis panduan serta penggunaan internet secara selamat.
Katanya, pendedahan itu penting bagi membantu pelajar memahami risiko penggunaan internet selain mengelakkan mereka daripada terbabit dalam sebarang salah laku siber.
Langkah pemasangan CCTV itu turut selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan di institusi pendidikan termasuk menerusi peruntukan tambahan RM15 juta bagi pemasangan CCTV di 1,000 sekolah di seluruh negara.





