
SARIKEI – Penduduk di sekitar Sare bakal menikmati tempoh perjalanan yang lebih singkat ke pusat bandar Sarikei menerusi pembinaan laluan alternatif baharu sepanjang 2.7 kilometer yang menghubungkan Jalan Sare dengan kawasan Sentebu di Bukit Kinyau.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek bernilai kira-kira RM17 juta di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kos tersebut, sejumlah RM1.4 juta telah diagihkan bagi tujuan pembayaran pampasan kepada 20 pemilik tanah yang terjejas akibat pembinaan jajaran berkenaan.
“Pembinaan jalan ini berupaya memendekkan masa perjalanan penduduk dari Sare ke bandar Sarikei daripada sekitar 30 minit kepada kira-kira 10 minit sahaja.
“Laluan ini juga bakal menyediakan akses secara terus ke Hospital Sarikei, sekali gus membolehkan penduduk mengelakkan laluan dalam bandar yang lazimnya berdepan masalah kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pihak media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan, pada Rabu.
Sebagai rekod, pada ketika ini penduduk Sare yang menuju ke pusat bandar perlu melalui laluan yang lebih jauh iaitu Jalan Sare, Jalan Meruton/Merudu dan Jalan Repok, manakala pergerakan ke hospital pula melibatkan laluan bertindih di Jalan Kampung Seberang.
Len Talif menjelaskan, penyediaan jaringan perhubungan yang efisien amat penting bukan sahaja bagi melancarkan pergerakan harian penduduk, malah ia bertindak sebagai nadi untuk memperkukuh kesalinghubungan ekonomi antara kawasan luar bandar dengan pusat bandar Sarikei.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pihak kerajaan menerusi RADDA turut merancang untuk membina laluan baharu sepanjang kira-kira tujuh kilometer bagi menghubungkan kawasan Kerubong dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Adin Sare.
Jelas beliau, projek susulan yang dijangka ditender dalam masa terdekat itu kelak akan melengkapkan keseluruhan rangkaian perhubungan jalan raya di Sarikei dari arah selatan dan utara.
Foto: Facebook YB Len Talif Salleh






