
KOTA KINABALU – Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) kendalian Petronas melahirkan 256 graduan teknikal mahir sejak penubuhannya pada 2011, sekali gus menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran di Sabah.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd, Ts. Azhar Ahmad berkata, pencapaian sepanjang 15 tahun itu mencerminkan komitmen Petronas memperkasakan belia Sabah dengan kemahiran teknikal yang memenuhi keperluan industri.
“Melalui KTC, belia Sabah berpeluang mengikuti pendidikan teknikal, latihan praktikal dan pendedahan industri yang menyeluruh bagi mempersiapkan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.
“Kami berharap graduan KTC akan terus memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk membina kerjaya yang mampan serta masa depan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Azhar, ulang tahun ke-15 KTC diraikan menerusi majlis konvokesyen membabitkan 25 pelatih yang menamatkan program diploma selama tiga tahun.
“Sebahagian besar graduan berkenaan sudah memperoleh pekerjaan selepas menamatkan latihan pada Jun lalu, mencerminkan keberkesanan program dalam menyediakan tenaga mahir untuk pasaran kerja.
“Program sepenuh masa selama tiga tahun itu menggabungkan pembelajaran teori dan latihan amali menggunakan kemudahan simulasi bertaraf industri bagi memberikan pengalaman yang menyerupai operasi sebenar di lapangan,” kongsinya.
KTC merupakan yang diiktiraf pusat bertauliah yang diiktifar oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan.
Dalam pada itu, Majlis Penyampaian Sijil berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Hassan Mahali.
Turut hadir, Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab.





