MITI perjelas isu siasatan USTR, tegaskan tiada amalan buruh paksa di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa seperti yang dipersepsikan sesetengah pihak susulan siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan USTR pada 2 Jun lalu yang mencadangkan pengenaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Malaysia selepas tamat tempoh tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai depan.

Menurut MITI, penemuan yang dikemukakan oleh USTR tidak menunjukkan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa atau mempunyai persekitaran pekerjaan yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa.

Sebaliknya, penemuan tersebut merujuk kepada ketiadaan peruntukan undang-undang khusus bagi menyaring kemasukan barangan dan bahan mentah dari negara ketiga yang berkemungkinan mempunyai unsur buruh paksa dalam rantaian bekalannya.

Kementerian itu menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani jurang berkenaan melalui pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dasar.

“Malaysia mempunyai rangka kerja undang-undang domestik yang komprehensif melarang buruh paksa, antaranya Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Pekerjaan 1955 dan Piawaian Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) Akta 2021, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, dikuatkuasakan dengan ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” kata MITI.

Dalam masa yang sama, MITI menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad berhubung pengenaan tarif terhadap Malaysia telah dibuat oleh pihak USTR setakat ini.

Menurut kementerian itu, cadangan tarif sebanyak 10 peratus yang dibangkitkan masih berada pada peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

“Sebarang kadar tarif hanya akan dikenakan selepas USTR melengkapkan proses siasatan penuhnya dan mengeluarkan penentuan rasmi,” kata kenyataan itu.

MITI memaklumkan bahawa cadangan tersebut kini melalui proses rundingan awam yang memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas.

Permohonan untuk menghadiri sesi pendengaran awam bersama ringkasan keterangan perlu dikemukakan sebelum 22 Jun 2026, manakala ulasan bertulis hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 6 Julai 2026. Sesi pendengaran awam pula dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026.

Menurut MITI, keputusan akhir berhubung perkara itu dijangka diumumkan pada penghujung Julai 2026, bertepatan dengan tamatnya tempoh tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai 2026.

Selain isu berkaitan buruh paksa, Malaysia turut menjadi subjek siasatan USTR berhubung dakwaan lebihan kapasiti industri yang berpotensi menjejaskan pasaran global.

Bagaimanapun, MITI menegaskan bahawa sektor perindustrian negara beroperasi berdasarkan permintaan pasaran sebenar dan tidak mempunyai kapasiti pengeluaran berlebihan yang boleh memesongkan perdagangan antarabangsa.

“Malaysia telah mengemukakan bukti terperinci untuk tujuan ini dan akan mempertahankan pendirian ini. USTR masih belum mengeluarkan sebarang penemuan dan mencadangkan tindakan berkaitan,” katanya.

MITI turut menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai negara perdagangan yang bertanggungjawab dengan sistem perlindungan pekerja yang kukuh serta komitmen berterusan terhadap amalan perdagangan yang adil dan berasaskan peraturan.

Menurut kementerian itu, Malaysia sentiasa mematuhi obligasi di bawah pelbagai perjanjian perdagangan dua hala, serantau dan pelbagai hala yang disertainya.

“Kerajaan akan terus libat urus dengan Amerika Syarikat di semua peringkat dan akan memberikan maklumat terkini selanjutnya apabila proses itu berjalan,” katanya.

Related Posts

MTPMA63 berlangsung di Sabah, Jumaat ini

KOTA KINABALU – Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada Jumaat ini, 11 September. Menteri di Jabatan Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wan Azizah gesa suara wanita diterjemah kepada dasar, bukan sekadar statistik

KUALA LUMPUR – Kajian Suara Wanita 2025/2026 membawa kepada lima hala tuju dasar yang wajar diberi perhatian kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

  • By Ezmie
  • September 7, 2026
Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

  • By Ithma
  • September 7, 2026
Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit