PUTRAJAYA – Bekalan ternakan bagi sambutan Aidiladha tahun ini berada pada tahap mencukupi untuk menampung keperluan penyembelihan korban di seluruh negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lalu, jumlah bekalan lembu dan kerbau tempatan direkodkan sebanyak 35,127 ekor, manakala ternakan import pula berjumlah 16,845 ekor.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420 ekor,” menurut kenyataan itu.
KPKM turut memaklumkan bekalan kambing dan bebiri tempatan direkodkan sebanyak 25,815 ekor, selain 4,232 ekor ternakan import, menjadikan keseluruhan bekalan mencecah 30,047 ekor.
Jumlah itu dilaporkan melebihi unjuran permintaan semasa yang dianggarkan sebanyak 22,424 ekor.
Menurut kementerian itu, data semasa menunjukkan kapasiti bekalan ternakan negara berada dalam keadaan stabil dan mampu memenuhi keperluan ibadah korban sepanjang musim perayaan Aidiladha tahun ini.
Dalam pada itu, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia kini bersedia beroperasi bagi melaksanakan proses penyembelihan ternakan korban.
“Selain itu, DVS juga mengeluarkan lesen kepada 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 16 Mac bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
KPKM berkata, mana-mana pihak yang ingin melaksanakan aktiviti penyembelihan korban di luar rumah sembelih termasuk di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan lokasi awam perlu mendapatkan permit penyembelihan luar daripada pihak berkuasa berkaitan.
Kementerian itu turut menggesa orang ramai supaya merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan DVS bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban berjalan lancar dan mematuhi prosedur ditetapkan.
Foto: BH






