PENDEKATAN bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menubuhkan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dilihat mempunyai unsur kekecewaan yang mendalam dan sikap mudah mengaku kalah setiap kali berhadapan tekanan, disifatkan sebagai kelemahan utama yang menjejaskan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, sebagai seorang ahli politik, menang atau kalah adalah perkara lumrah, namun tindakan Rafizi yang gemar memberikan pelbagai alasan untuk menutup kelemahan strategi sendiri menunjukkan ketidakupayaannya untuk bangkit semula.
Beliau menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan terbuka Rafizi sebelum ini yang secara mudah meramalkan bahawa dirinya tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang, selain kecenderungannya menuding jari kepada pihak lain.
“Pada awalnya, kita dapat lihat dia suka memberikan alasan apabila kalah dalam pemilihan kepimpinan parti politiknya, bukan? Saya juga agak terkejut apabila dia mengatakan bahawa dia tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang.
“Sebagai seorang ahli politik, menang atau kalah memang perkara besar. Tetapi persoalannya ialah bagaimana seseorang bangkit semula selepas itu. Kemudian dia membuat banyak lagi tuduhan, dan saya menunggu sama ada dia akan membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (RoS) tetapi langsung tidak dibuat.
“Jadi pada pandangan saya, dia seolah-olah memberi alasan untuk menutup strategi yang lemah atau kelemahan dirinya sendiri. Dalam temu bual yang saya lihat, dia juga tidak pernah mengakui kelemahan sendiri. Seolah-olah semuanya salah orang lain,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.
Tajuddin turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang memilih untuk meletakkan jawatan sebelum ini, sedangkan tiada sebarang desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, tindakan berasaskan emosi akibat kecewa itu turut diikuti oleh bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang disifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dalam dunia politik matang.
“Siapa yang suruh dia meletak jawatan? Tiada siapa. Malah Anwar juga tidak menyuruhnya. Kalau sudah hilang kepercayaan kepada parti, itu perkara lain. Tetapi mengapa perlu meletakkan jawatan begitu sahaja?
“Sangat mudah untuk mengkritik selepas jatuh. Tetapi persoalannya, adakah anda mempunyai ketahanan dalam politik? Ada menteri di Sarawak yang kalah tetapi tetap kental meneruskan tugas sebagai Menteri Pelancongan demi khidmat kepada rakyat,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, sikap mudah kecewa pemimpin berkenaan turut memberi kesan kepada prestasinya semasa menyandang jawatan Menteri Ekonomi, di mana idea-idea besar beliau akhirnya gagal diterjemahkan kepada bentuk pelaksanaan.
Beliau berkata, kegagalan itu berpunca daripada pendekatan Rafizi yang terlalu bersandarkan kepada teori akademik dan kaedah digital semata-mata memiliki pendekatan yang rapat dengan kesusahan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Namun Rafizi sentiasa mempunyai idea yang kukuh. Masalahnya ialah dia tidak mampu menterjemahkan idea itu kepada pelaksanaan.
“Sebagai contoh, ketika menjadi Menteri Ekonomi, dia bercakap tentang membina hab ekonomi dan sebagainya. Tetapi ramai orang, masih menghadapi masalah kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Tajuddin menolak keras pandangan skeptikal yang mendakwa sistem politik di Malaysia sudah rosak.
Tegas beliau, isu-isu dinamik dan sensitif melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), hak Bumiputera, konflik agama, serta isu tempatan adalah realiti politik yang menuntut kekuatan mental seorang pemimpin, bukan sebagai alasan Rafizi untuk melarikan diri.
“Dia memang mempunyai banyak idea yang baik. Tetapi persoalannya ialah bagaimana untuk melaksanakannya dalam dunia sebenar.
“Politik sebenar memerlukan tolak ansur dan kompromi. Dia pernah mengatakan mahu membawa politik baharu dan mengubah politik lama. Tetapi politik lama itulah realiti politik semasa, berurusan dengan manusia sebenar dan pemimpin komuniti yang sebenar,” katanya.




