BUKIT RAMBAI – Keupayaan menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin kuasa besar dunia meskipun berbeza pendirian dalam isu antarabangsa disifatkan antara kekuatan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga kepentingan dan keselamatan negara.
Veteran tentera, Abu Samad Bidin berkata, kebijaksanaan diplomasi Anwar membolehkannya membina hubungan dengan pemimpin negara berpengaruh termasuk Amerika Syarikat, Jerman, India, Pakistan dan Turkiye.
Menurutnya, keupayaan itu memperlihatkan pendekatan diplomatik yang tersendiri apabila Perdana Menteri masih mampu mengekalkan hubungan baik dengan pemimpin negara lain walaupun menyuarakan kritikan terhadap sesuatu isu antarabangsa.
“Beliau mempunyai pengaruh yang kuat di luar negara, dan musuh yang kuat pun di luar negara. Jadi dia sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri Anwar, dia mempunyai kewibawaan ataupun watak yang begitu baik, dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin besar.
”Dia dapat berkawan dengan baik walaupun dalam ucapan dia, dia menghentam, tetapi dalam masa yang sama dia begitu akrab dan dan bijak membawa hubungan diplomatik antarabangsa,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Abu Samad berkata, aspek keselamatan negara hari ini tidak lagi boleh dinilai berdasarkan kekuatan ketenteraan dan penggunaan senjata semata-mata kerana ancaman turut berkembang menerusi teknologi serta serangan siber.
Sehubungan itu, beliau berpandangan hubungan diplomatik yang baik dengan negara luar perlu terus dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan dan kepentingan Malaysia dalam berdepan pelbagai cabaran keselamatan.

“Inilah kepintaran ataupun ke- kebijaksanaan Datuk Seri yang kita kita saya memang respeklah, memang saya tabik dengan cara pentadbiran beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Samad berpendapat, keupayaan mempertahankan negara daripada ancaman siber tidak seharusnya hanya bergantung kepada agensi keselamatan, sebaliknya kerajaan perlu membuka ruang kepada golongan muda berkemahiran teknologi untuk turut menyumbang kepakaran mereka.
Veteran tentera, Abu Samad Bidin berkata, ancaman keselamatan negara kini semakin kompleks apabila peperangan tidak lagi tertumpu kepada penggunaan senjata api dan kekuatan ketenteraan, sebaliknya turut membabitkan serangan siber.
Menurutnya, Malaysia perlu memperkukuh keupayaan pertahanan digital dengan memanfaatkan kepakaran anak tempatan yang mempunyai kemahiran dalam bidang komputer dan keselamatan siber.
“Saya minta kerajaan selepas ini lebih terbuka dan memberikan peluang kepada anak muda yang mempunyai kemahiran dalam bidang siber serta komputer untuk bekerjasama dengan kerajaan.
“Jika kepakaran mereka dapat dimanfaatkan, InsyaAllah ia mampu membantu negara memperkukuh pertahanan daripada ancaman siber,” katanya.


