
KULAI – Daerah Kulai bakal melakar lembaran baharu dalam peta ekonomi negara apabila Nexus Sedenak diangkat sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi daerah itu, sekali gus muncul sebagai hab industri dan logistik baharu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, pembangunan di Sedenak tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut pusat data semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu diterajui melalui program flagship Nexus Sedenak yang dirancang secara lebih komprehensif dan berimpak tinggi.
“Ia juga disebut dalam Belanjawan 2027 apabila Nexus Sedenak dijangka membawa potensi pelaburan sebanyak RM12 bilion dan membuka sebanyak 45,000 peluang pekerjaan,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Menurut beliau, limpahan pelaburan berimpak tinggi itu bukan sekadar angka di atas kertas, malah dijangka mampu meningkatkan kualiti hidup dan taraf pendapatan penduduk setempat secara langsung.
Lebih menarik, pembangunan Nexus Sedenak turut merangkumi perancangan pembinaan sebuah pelabuhan darat yang bakal mengubah landskap logistik di utara JS-SEZ.
“Di bawah Nexus Sedenak, mereka ada perancangan untuk membangunkan projek sebagai pelabuhan darat. Ini akan memberi peluang yang lebih besar kepada industri logistik khususnya di Kulai,” katanya.
Nie Ching berkata, gabungan pelabuhan darat dan zon perindustrian baharu itu diyakini bakal menarik lebih banyak kilang, sekali gus merancakkan rantaian industri tempatan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada anak Johor.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar aspek infrastruktur asas tidak dipinggirkan seiring kepesatan pembangunan perindustrian di kawasan itu.
“Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita memastikan bahawa aspek bekalan elektrik dan air dijaga dengan baik supaya kehidupan penduduk setempat di sini tidak terjejas,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Oktober lalu mengumumkan Nexus Sedenak bakal menjadi kutub baharu industri di utara JS-SEZ, disokong oleh penaiktarafan jalan dari persimpangan Sedenak serta rangkaian logistik serantau.
Anwar berkata, JS-SEZ merekodkan pelaburan bernilai RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor terus meningkat.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Hariss berkata, lima sektor utama telah dikenal pasti bagi pembangunan Nexus Sedenak merangkumi pembuatan termaju, logistik bersepadu, teknologi pertanian dan makanan, teknologi hijau dan industri farmaseutikal.
Nexus Sedenak dibangunkan sebagai ekosistem ekonomi generasi baharu yang menggabungkan komponen perindustrian, logistik, komersial, kediaman dan gaya hidup dalam satu pembangunan yang saling melengkapi.
Pembangunan bersepadu di tapak seluas 2,940 ekar itu bakal mentransformasikan Ladang Air Manis di Sedenak sebagai ekosistem perindustrian, logistik dan pelaburan bertaraf serantau bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Johor dan memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan.


