
PUTATAN – Program Rakan Lestari 2026 yang berlangsung di Taman Permainan Teluk Villa berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh berjakat, program berkenaan bukan sekadar menceriakan kawasan taman permainan, tetapi juga bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan, kehijauan serta kelestarian alam sekitar.
“Kawasan rekreasi seperti taman permainan merupakan tempat tumpuan komuniti, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
“Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kawasan ini sentiasa bersih, selamat dan kondusif,” ujarnya semasa menyampaian ucapan perasmiannya di sini, pada Rabu.

Masawi yang juga Pengerusi Majlis Daerah Putatan, berkata, program seumpamanya itu turut mampu memperkukuh semangat kerjasama dan gotong-royong dalam komuniti selain membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kemudahan awam dan alam sekitar.
“Masyarakat juga diseru agar membanteras gejala vandalisme yang boleh merosakkan kemudahan awam serta menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.
“Orang ramai perlu mengamalkan gaya hidup mesra alam termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui inisiatif ‘Zero Plastic Bag’ serta membudayakan penggunaan bahan kitar semula,” ujarnya.
Masawi berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke kawasan lain di daerah Putatan agar lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaatnya serta bersama-sama mewujudkan persekitaran yang bersih, hijau dan harmoni.

Program berkenaan mendapat sokongan daripada agensi kerajaan, NGO dan komuniti setempat, sekali gus membuktikan bahawa kerjasama bersepadu mampu memberikan impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat.

