PUTRAJAYA – Parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), menegaskan komitmen untuk terus bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga penggal pentadbiran berakhir.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dizahirkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas Perdana Menteri membangkitkan isu kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal.
“Disebabkan beliau (Perdana Menteri) ada bercakap mengenai soal ini (PRU awal) sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad lalu, beliau ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai perkara itu.
“Parti komponen dalam Kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, jadi komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Komitmen ini mencerminkan keutamaan diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara, sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Pada Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru, Ahad lalu, Anwar yang juga Pengerusi PH memberi bayangan bahawa Parlimen boleh dibubarkan lebih awal bagi membuka laluan kepada PRU16 sekiranya wujud tindakan daripada rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang menjejaskan kestabilan politik negara.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan UMNO dan BN untuk bertanding di semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Mesyuarat Kabinet turut dimaklumkan mengenai persiapan sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun ini berikutan tindakan dua Ahli Parlimen kerajaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengosongkan kerusi masing-masing berkuat kuasa Isnin lalu.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi serta Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pada Isnin lalu bagi memaklumkan pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin PKR itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada mereka meneroka hala tuju politik baharu.


