
KUCHING – Perjalanan hidup dan sumbangan besar Allahyarhamah Datuk Amar Laila Taib kini diabadikan dalam sebuah naskhah biografi bertajuk ‘Laila Taib – Her Journey of Love and Compassion’ yang dilancarkan secara rasmi pada Ahad.
Majlis pelancaran naskhah setebal 272 halaman itu telah disempurnakan oleh anak perempuannya yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hajah Hanifah Hajar Taib, bertempat di Galeri Pustaka Negeri Sarawak.
Karya terbitan Pustaka Negeri Sarawak yang ditulis oleh Christina Thomas-Mamora itu menyingkap penceritaan luar biasa Laila merentasi benua. Ia bermula dari zaman kanak-kanaknya di Poland yang dilanda peperangan, susur galur warisan keturunan Tatar, sehinggalah penghijrahannya ke Borneo.
Buku tersebut turut menceritakan detik bermakna pertemuan beliau dengan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Adelaide, Australia yang kemudiannya menjadi tokoh kepimpinan ikonik negeri itu selama lebih tiga dekad.
Menurut Hanifah merangkap Ahli Parlimen Mukah, naskhah berkenaan merupakan satu pendedahan yang jujur dan ditulis berdasarkan diari peribadi serta koleksi gambar keluarga yang eksklusif.
“Buku ini memaparkan sisi lembut ibu saya dari ekspresinya sendiri. Beliau merupakan seorang wanita yang berani, merendah diri, dan sentiasa mempunyai inisiatif untuk memulakan sesuatu yang baharu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Hanifah berkata, ibunya telah membawa perubahan besar kepada landskap kebajikan di Sarawak.
Menerusi penglibatan awal dalam Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Allahyarhamah telah menginspirasikan isteri-isteri pemimpin untuk turut sama membantu kesejahteraan rakyat.
Inisiatif ini termasuklah kejayaan mengumpul dana bagi pembelian mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) termaju di negeri itu pada ketika itu.
“Banyak pendekatan holistik yang beliau lakukan. Dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim contohnya, ibu bukan sahaja menyalurkan bantuan dana, malah beliau sendiri akan turun padang memantau fasiliti sekolah dan asrama bagi memastikan anak-anak ini mendapat kemudahan yang terbaik,” jelas beliau.
Selain itu, Allahyarhamah Laila juga amat menitikberatkan soal pemeliharaan alam sekitar dan banyak mengesyorkan penanaman pelbagai spesies pokok serta bunga-bungaan bagi mengindahkan bandar raya Kuching.
Bersempena dengan pelancaran buku tersebut, sebuah pameran khas bertajuk “The Tatar Muslims in the Republic of Poland” turut dianjurkan.
Pameran ini bertujuan memberi pendedahan mengenai latar belakang budaya Eropah Timur milik Laila yang banyak membentuk sifat empati dan nilai toleransinya terhadap masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.







