
SHAH ALAM – Setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, namun keputusan berhubung permohonan itu bukan kuasa kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara berkenaan perlu dilihat berlandaskan prinsip Perlembagaan, termasuk membabitkan keputusan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan.
“Saya tetap pertahankan hak. Siapa pun, termasuk Datuk Seri Najib, ada hak untuk memohon pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
“Lembaga Pengampunan harus menilai, kalau di peringkat kerajaan Persekutuan, ada nasihat daripada Perdana Menteri, ada nasihat daripada Peguam Negara dan sebaiknya dengar nasihat itu.
“Tetapi untuk keputusan itu, bolehkah kita lakukan? Apakah nasihat saya itu ke arah keputusan? Tidak,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan perlu terus berpegang kepada prinsip Perlembagaan ketika menangani isu pengampunan, termasuk memastikan proses perundangan tidak dicampuri pihak eksekutif.
Beliau berkata, kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kes sivil lain yang masih berjalan di mahkamah perlu diteruskan tanpa sebarang halangan.
“Kes 1MDB masih berterusan. Kes sivil masih terus. Ia tidak menghalang.
“Nasihat yang saya berikan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi saya juga Perdana Menteri yang harus tunduk kepada prinsip Perlembagaan (yang) meletakkan kaedahnya begitu,” katanya.
Anwar pada masa sama menegaskan kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip memerangi rasuah selain mempertahankan keadilan dan integriti tanpa mengira pihak yang terlibat.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan terhadap kes berprofil tinggi mempunyai unsur dendam politik.
“Minggu depan, mula laporan awal tentang Felda. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa? Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Tanya ketua hakim.
“Ketua hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan,” katanya.



