SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan laporan awal berkaitan pengurusan dan tatakelola Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan didedahkan kepada umum minggu depan.
Anwar berkata, pendedahan itu penting bagi menjelaskan persoalan berkaitan dakwaan salah guna kuasa serta kerugian yang ditanggung agensi berkenaan.
“Minggu depan, mula laporan awal tentang FELDA. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa?
“Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Tanya Ketua Hakim. Ketua Hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, laporan berkenaan akan diterbitkan sebaik proses penyediaannya selesai, selain berharap orang ramai dapat menelitinya seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, penerbitan laporan itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan untuk memperbetulkan kelemahan serta kesilapan dalam pentadbiran terdahulu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini memperuntukkan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi menampung bayaran berkaitan hutang FELDA susulan kerugian yang dialami agensi berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan mengambil tanggungjawab berkenaan bagi memastikan beban kewangan tersebut tidak ditanggung oleh peneroka.
“Baru-baru ini saya jumpa pengurus FELDA, rumah mereka teruk, puluh tahun tidak dibaiki.
“Maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah pengurus FELDA seluruh negara,” katanya.
Pada Julai, Anwar mendedahkan FELDA yang pernah muncul sebagai syarikat perladangan terbesar di dunia dan menjana keuntungan berbilion ringgit setahun, kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.





