
KUANTAN – Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki mencuri sebuah Toyota Hilux berwarna putih di Lorong Bukit Ubi 59, Perumahan Bukit Ubi di sini, petang kelmarin.
Kenderaan itu dilaporkan hilang selepas pemiliknya, seorang wanita berusia 55 tahun mendapati Toyota Hilux miliknya yang diletakkan di luar pagar rumah dalam keadaan berkunci hilang kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu, lebih kurang jam 4 petang hari sama.
“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis JAECOO berwarna hijau berhenti bersebelahan kenderaan milik mangsa jam 2.04 petang.
“Seorang lelaki tidak dikenali kemudian dilihat keluar daripada kenderaan tersebut sebelum memasuki Toyota Hilux milik mangsa, menghidupkan enjin dan melarikan kenderaan berkenaan dari tempat kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian.
Ashari berkata, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor.
Jelasnya, usaha mengesan suspek dan kenderaan yang dilaporkan hilang sedang giat dijalankan, selain polis meneliti rakaman CCTV serta mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu atau mengesan Toyota Hilux berwarna putih dengan nombor pendaftaran CEY 8122 diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-513 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.



