PUTRAJAYA – Kecenderungan peningkatan bilangan pelajar memperoleh gred cemerlang menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menimbulkan persoalan besar terhadap nilai sebenar pencapaian akademik.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, isu utama bukanlah mempertikaikan siapa yang layak memperoleh gred A, sebaliknya bagaimana gred tersebut ditentukan dan sejauh mana ia mencerminkan keupayaan sebenar pelajar.
Sebagai contoh, beliau menegaskan, perbezaan markah yang signifikan antara 95 dan 85 yang dikategori sebagai A seharusnya diterjemahkan dengan lebih jelas dalam sistem penggredan agar pelajar berprestasi tinggi tidak disamaratakan.
“Siapa yang dapat A itu hak mereka, usaha mereka. Yang kita harap kita diberikan penjelasan adalah bagaimana A itu diperolehi, grade itu diperolehi.
“Berapakah markah mentah untuk mencapai grade tersebut? Dan mengapa ia tidak diletakkan
di dalam sijil ataupun pengiktirafan itu. Supaya ia benar-benar memberi keadilan kepada anak- anak kita.
“Begitu juga dengan kalau yang rendah itu. Kalau 15% dah lulus matematik dan maka jumlah tahun itu meningkat berbanding tahun lepas. Apakah kita boleh menerima hakikat bahawa kualiti pendidikan kita akan jadi serendah itu untuk anak-anak kita lulus,” katanya menerusi hantaran video kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) berkata, perkara itu mewujudkan situasi fenomena inflasi gred, iaitu keadaan apabila terlalu ramai pelajar memperoleh gred tinggi sehingga nilainya semakin merosot.
Menurut beliau, keadaan ini boleh memberi kesan langsung kepada peluang kemasukan ke universiti dan pemberian biasiswa apabila gred tidak lagi menjadi pembeza utama antara pelajar.
“Inflasi gred ini sama seperti inflasi ekonomi. Duit banyak tetapi nilai rendah. Begitu juga apabila terlalu ramai dapat A, akhirnya A itu tidak lagi membawa makna.
“Apabila semua orang dapat A, sijil itu hilang fungsi sebagai alat pemilihan. Pelajar yang benar-benar cemerlang mungkin tidak mendapat tempat kerana persaingan menjadi terlalu homogen.
“Pada satu peringkat, kalau kita tidak mengawal inflasi grade ni, ia sudah tidak ada nilai lagi. Sama seperti duit lah. Kalau kita tak kawal inflasi kita, banyak duit, berlori-lori duit, tapi duit itu tak ada nilai. Sama dengan grade kita. Kita ada sijil yang banyak A. Banyak A, semua A. Tapi akhirnya A itu tak laku,” katanya.

Anuar turut mengingatkan bahawa fenomena sama pernah berlaku di peringkat antarabangsa, termasuk di England pada awal 1990-an, apabila peningkatan mendadak pelajar bergred tinggi mencetuskan perbahasan nasional mengenai kredibiliti sistem peperiksaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk menyeimbangkan antara meraikan kejayaan pelajar dan memastikan standard serta integriti sistem pendidikan terus terpelihara.
“Saya tidak kata SPM sebagai suatu masalah, namun kita meneliti isu inflasi gred ini yang sudah berlaku di negara lain. Di Amerika Syarikat (AS), ada peperiksaan SAT dan sebagainya untuk ukur keupayaan anak-anak masuk ke peringkat universiti, perkara-perkara ini harus diteriti oleh pihak yang melaksanakan pendidikan.
“Di saat kita mahu mengembirakan masyarakat dengan bilangan A banyak, kita juga kena berhati-hati supaya jangan sampai kita berada di tahap A itu sudah tidak ada nilai dan keperluan sehingga jadinya inflasi.
“SPM berfungsi untuk tujuan pemilihan. Jadi, kalau pemilihan sijil SPM itu tidak berkesan dari sini melakukan proses pemilihan sebagai alat pemilihan, maka fungsi SPM itu akan semakin hari semakin hilang dan tidak diperlukan lagi untuk tujuan penilaian dan pemilihan dalam ruang pendidikan,” katanya.
Terdahulu, seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan cemerlang semua A iaitu kombinasi gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, seramai 376 calon pula memperoleh semua A+ dalam semua mata pelajaran.
Bagaimapun, katanya, keputusan semua A itu sedikit menurun seramai 48 calon berbanding SPM 2024 atau 13,827 orang, manakala calon semua A+ meningkat 24 calon berbanding SPM 2024 iaitu 352 calon.







