MINDA TOK ABAH: Dari meja Aidilfitri ke dunia yang kehilangan rasa

MINGGU lalu, kita berbicara tentang bagaimana dunia perlahan-lahan kehilangan keupayaan untuk melihat semua nyawa sebagai sama nilainya. Tentang bagaimana empati menjadi semakin tumpul, dan penderitaan tidak lagi menggoncang jiwa seperti dahulu. Dunia tidak lagi berhenti lama untuk berduka; ia sekadar melihat, mengeluh, dan bergerak ke hadapan.

Lalui kita bertanya, jika dunia sedang kehilangan rasa, di manakah ruang untuk kita memulihkannya? Ya, ia bermula di rumah.

Kita sering membicarakan tentang negara dalam bahasa yang besar melalui dasar, angka, kestabilan. Hakikatnya, negara tidak dibina daripada wacana semata-mata. Ia dibina daripada pengalaman harian manusia. Dan pengalaman itu bermula dalam ruang paling kecil, iaitu keluarga.

Aidilfitri mempertemukan semula ruang ini. Di pagi raya, apabila lima atau enam beradik berkumpul dengan latar kehidupan yang berbeza, dengan pandangan yang tidak selalu sehaluan, di situlah berlangsung satu proses yang jarang kita sedari, iaitu proses mendidik manusia untuk hidup dalam perbezaan.

Di meja makanlah kita belajar sesuatu yang semakin sukar di luar sana, bahawa tidak semua perbezaan perlu diselesaikan dengan pertentangan. Ada yang cukup diurus dengan adab.

Kita belajar untuk berundur sedikit demi menjaga keharmonian. Kita belajar bahawa kemenangan mutlak dalam hubungan adalah tentang yang paling memahami. Dan tanpa disedari, kita sedang membina satu asas penting dalam pembinaan negara, iaitu keupayaan untuk hidup bersama tanpa perlu menjadi sama.

Namun di luar rumah, realitinya sering berbeza. Hubungan kaum dan agama hari ini semakin mudah menjadi ‘tajam’. Isu-isu kecil boleh membesar dengan pantas, diperkuat oleh emosi dan dipercepat oleh algoritma. Dalam ruang digital, manusia tidak lagi hadir sebagai manusia sebaliknya mereka hadir sebagai identiti, sebagai simbol kepada sesuatu yang perlu dipertahankan atau ditentang.

Di sinilah empati mula terhakis. Apabila kita melihat wajah manusia melalui perbezaan, kita mula melihat mereka sebagai ancaman. Dan apabila itu berlaku, nilai manusia itu sendiri mula berubah — bukan lagi sesuatu yang mutlak, tetapi sesuatu yang bergantung kepada posisi, sentimen dan kepentingan. Fenomena ini tidak terpisah daripada apa yang berlaku di peringkat global. Ia adalah pantulan yang sama, cuma dalam skala yang berbeza.

Apa yang berlaku di medan konflik dunia mengajar kita bahawa apabila empati hilang, keadilan menjadi relatif. Dan apabila keadilan menjadi relatif, manusia tidak lagi dilihat sebagai manusia sebaliknya sebagai alat dalam percaturan yang lebih besar.

Di sinilah Aidilfitri menawarkan satu kemungkinan yang berbeza. Ia bukan sekadar perayaan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi proses mengembalikan manusia kepada fitrah asalnya. Fitrah yang melihat manusia lain sebagai manusia, bukan sebagai musuh yang perlu ditewaskan.

Budaya ziarah, rumah terbuka, dan bermaafan bukan sekadar adat. Ia adalah mekanisme sosial yang menumpulkan ketajaman ego dan prasangka yang terbina sepanjang tahun. Sangat sukar untuk kita membenci seseorang yang pernah duduk semeja, berkongsi tawa dengan kita, apatah lagi melihatnya sebagai lawan. Di situlah sebenarnya pembinaan negara bermula, di ruang-ruang kecil yang membina kepercayaan antara manusia.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai ihsan dan hormat sering diangkat sebagai asas. Namun nilai ini tidak akan hidup melalui slogan. Ia hanya akan hidup jika ia dialami, dan Aidilfitri menyediakan ruang untuk pengalaman itu berlaku.

Tetapi cabaran sebenar bukan pada hari raya itu sendiri. Cabaran sebenar ialah apa yang berlaku selepasnya.

Adakah nilai yang kita hidupkan di pagi raya akan kekal dalam cara kita berinteraksi selepas ini?

Atau ia sekadar menjadi satu jeda sementara sebelum kita kembali kepada dunia yang sama? Dunia yang cepat menghukum, mudah melabel, dan semakin kurang merasa?

Kerana jika Aidilfitri hanya menjadi ritual tahunan tanpa kesinambungan makna, maka kita sebenarnya tidak memulihkan apa-apa. Kita hanya menangguhkan keletihan.

Sebaliknya, jika kita benar-benar memahami makna di sebalik perayaan ini, maka Aidilfitri boleh menjadi titik mula kepada sesuatu yang lebih besar. Satu usaha untuk memastikan bahawa dalam sebuah negara yang berbilang, perbezaan tidak menjadi sebab perpecahan, tetapi ruang untuk membina kefahaman.

Dalam dunia yang semakin menerima bahawa tidak semua nyawa itu sama nilainya, mempertahankan kepercayaan bahawa setiap manusia itu berharga adalah satu keberanian.

Dan keberanian itu dengan cara kita melihat orang lain selepas kita bangun dari meja makan Aidilfitri.

Selamat Hari Raya.
Maaf zahir dan batin.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

TAWAU – Isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tidak boleh hanya bergantung kepada penambahan jumlah penempatan di atas kertas, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

LABUAN – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan penyebaran berita palsu dan grafik dimanipulasi menggunakan gambar serta logo organisasi media susulan pembentangan Belanjawan 2027.‎‎Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

  • By Fatin
  • October 7, 2026
Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun