
BAYANGKAN meniti jambatan kayu yang berlubang, hanya dua batang kayu tersisa. Bagi kebanyakan orang, ia sudah cukup menakutkan. Namun bagi Anjeli Nini, 59, cabaran itu hanyalah sebahagian daripada perjalanan hampir empat dekad menabur bakti kepada golongan yang memerlukan.
Anjeli tetap teguh mengharungi laluan berbahaya itu demi senyuman warga emas, orang kurang Upaya (OKU) atau seorang anak yang terlantar sakit.
Berasal dari daerah Papar, Anjeli telah mengabdikan diri hampir 40 tahun di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru.
Pada 2017, beliau menyertai sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum dilantik sebagai petugas Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) pada 2019.
Bagi mualaf ini, tugas tersebut bukan sekadar pekerjaan tetapi ia adalah panggilan jiwa, satu amanah untuk membantu warga emas, OKU dan mereka yang terlantar sakit.
“Saya tidak tahu sama ada apa yang saya lakukan ini memberi pahala atau tidak, tetapi saya percaya setiap bakti yang kita tabur kepada orang lain pasti ada nilainya di sisi Tuhan,” kongsinya kepada wartawan The Malaysia Press (TMP).

Cabaran Fizikal dan Emosi
Pada awalnya, beliau dan rakan-rakan sukarelawan belum benar-benar memahami tanggungjawab sebagai petugas KBDR.
Namun kata-kata semangat daripada Allahyarham Tuan Safari Ismail, mantan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, yang menasihati mereka agar melihat tugas itu sebagai peluang mengutip pahala menjadi pembakar semangat.
“Sepanjang menjalankan tugas, saya mengakui antara cabaran paling sukar adalah ketika melawat Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Tugasan di sana memerlukan kami meredah lautan, laluan sempit dan berbahaya.
“Kadangkala kami terpaksa memanjat tangga jeti setinggi empat kaki ketika air pasang atau surut.
Selain cabaran fizikal, Anjeli juga pernah melalui kawasan yang dihuni sekumpulan remaja yang melakukan aktiviti tidak bermoral. Pernah juga beliau melawat rumah yang terdapat ahli keluarga yang sedang mabuk.
Semua itu tidak mematahkan semangat anak Dusun ini kerana ditemani sukarelawan lain. Setiap misi berjaya diharungi kerana dikongsi bersama mereka yang sejiwa.
Dalam perjalanan khidmatnya, Anjeli banyak menyaksikan kisah yang mengusik hati. Salah satu yang paling diingati adalah seorang wanita berusia 58 tahun yang hidup bersendirian.
“Dia selalu mengadu pening dan darah tinggi, tapi tiada siapa peduli. Bila kami dapatkan rawatan dan hubungkan dengan kebajikan, dia sangat bersyukur,” kata Anjeli dengan nada sebak.
Begitu juga dengan Babu Sumba, seorang warga emas yang kini telah meninggal dunia. Setiap kali Anjeli dan rakan-rakan datang menjenguk, wajah gembira Babu Sumba menyambut mereka.
“Dia selalu ucap terima kasih dan berkata dia sangat bersyukur ada orang datang jumpa mereka. Mereka sebenarnya hanya mahu ditemani,” katanya berkongsi rasa.

Kerja Dengan Hati
Menjadi petugas kebajikan pastinya bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan empati, keikhlasan, dan keberanian.
“Kalau kita ada rasa empati dan simpati terhadap mereka, kita akan automatik jatuh cinta dengan tugas ini. Kegembiraan ketika membantu orang lain tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” kongsinya.
Anjeli berdoa agar diberikan kesihatan yang baik untuk terus berbakti.
“Selagi saya sihat dan mampu bergerak, saya mahu teruskan kerja ini kerana ia bukan sahaja mengembirakan orang lain tetapi turut memberi kepuasan dan kegembiran di hati saya,” kongsinya.
Penulis percaya setiap apa yang dilaksanakan oleh Anjeli dan rakan-rakan pasti akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada dirinya.
Terima kasih pasukan sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah (KBDR)!









