PUTRAJAYA – Hujah Malaysia sebagai pengeluar minyak wajar mengekalkan harga bahan api pada kadar murah disifatkan sebagai ‘cerita separuh jalan’ yang telah lama membentuk salah faham dalam kalangan rakyat.
Pakar ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, dalam rumusan umum, apabila harga minyak global meningkat, kerajaan dianggap wajib menanggung perbezaan melalui peningkatan subsidi, lebih-lebih lagi Malaysia dilihat sebagai negara pengeluar minyak dan memiliki Petronas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, realiti sebenar industri minyak global jauh lebih kompleks, apatah lagi dalam situasi geopolitik semasa yang tidak menentu.
“Sudah bertahun didendang dengan cerita separuh jalan. Malaysia kan pengeluar minyak? Harga minyak global melonjak naik, tentulah negara mendapat hasil yang tinggi. Kan Petronas itu milik kerajaan? Pulangkan hasil yang meningkat ini kepada rakyat, tingkatkan subsidi!
“Semua maklum, berikutan perang Amerika Syarikat (AS) Israel-Iran, bekalan minyak dunia terganggu teruk. Geografi bekalan minyak dunia sangat unik. Sekitar 30% bekalan minyak dunia perlu melalui Selat Hormuz yang pada tahap minima, lebarnya hanyalah 39km yang sebahagiannya dikuasai Iran,” katanya menerusi kenyataan The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Noor Azlan menegaskan, situasi itu menyebabkan harga minyak mentah melonjak daripada sekitar AS$70 setong kepada setinggi AS$112 setong dalam tempoh beberapa minggu, sebelum berada pada paras sekitar AS$104 setong ketika ini.
Sehubungan itu, katanya, isu yang melanda ketika ini bukan salah kerajaan, namun seluruh dunia berhadapan dengan krisis geopolitik yang getir dan setiap pihak sama ada kerajaan, industri serta rakyat perlu mesti bersama mengharungi krisis ini, bukan bertindak menunding jari.
“Penilaian dan persediaan rapi amat penting. Kenaikan harga minyak boleh menjejaskan pelbagai aspek ekonomi dunia. Kos pengangkutan, pengeluaran, makanan, kadar inflasi, polisi monetari dan lain-lain lagi berkemungkinan terkesan.
“Ekonomi Malaysia yang bersifat terbuka dan kebergantungan kepada ekonomi global yang tinggi mesti segera bersedia dengan kemungkinan ini,” katanya.

Noor Azlan berkata, hampir semua negara di dunia sama ada pengeluar atau bukan pengeluar minyak telah menaikkan harga bahan api di pam, namun Malaysia masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter.
Malah, beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) memaklumkan, harga itu lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak utama dunia seperti Arab Saudi yang mencatatkan sekitar RM2.62 seliter.
“Malaysia mahu kekal kekalkan harga minyak sedia ada, ‘diraikan’ sebagai antara yang terendah didunia namun perlu sedar kos di sebaliknya. Terkini Perdana Menteri mengumumkan subsidi minyak telah melonjak dari RM700 juta ke RM3.2 bilion hanya dalam seminggu.
“Anggaran kasar saya, hampir bersamaan dengan pembinaan enam buah hospital 300 katil! Itu baru seminggu. Benar Malaysia pengeluar minyak. Namun Malaysia bukanlah pengeluar minyak utama dunia. Kita bukan penentu tetapi lebih kepada penerima (pricetaker) harga minyk dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan memaklumkan, rizab minyak Malaysia sekitar 2.7 bilion tong yang hanya mampu bertahan kira-kira 12 tahun, berbanding Arab Saudi dengan 267 bilion tong selain pengeluaran minyak negara sekitar 570,000 tong sehari, namun penggunaan mencecah 712,000 tong sehari menyebabkan Malaysia menjadi pengimport bersih minyak.
“Cukup sekadar memahami kita pengeluar minyak tetapi secara bersih, kita adalah pengimport bersih (net importer). Dalam dunia minyak dunia, Malaysia hanya sekelumit sahaja. Sudahlah dengan cerita Malaysia pengeluar minyak. Maka harga minyak dipam mesti kekal rendah.
“Sudahlah dengan cerita kita ada Petronas, harga minyak global meningkat, maka kita untung banyak, pulang keuntungan kepada pada rakyat. Keuntungan Petronas bukan seperti dahulu, cabarannya besar. Sudah tiga tahun berturut-turut menyusut. Ini semua cerita separuh jalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah satu kesilapan untuk terus menekan kerajaan mengekalkan harga minyak pada tahap yang “sangat rendah” berbanding harga pasaran semasa.
“Tiada guna menjadi juara antara harga minyak terendah dunia jika ia merugikan negara. Kita mengorbankan pembangunan jangka panjang negara. Subsidi bukan percuma, turun dari langit. Subsidi adalah perbelanjaan operasi, hangus setiap kali dibelanjakan.
“Tahun ini sahaja, Perdana Menteri menganggarkan untuk kekalkan harga minyak RON95 pada RM1.99 seliter, sekitar RM24 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi minyak. Hangus untuk tahun ini sahaja. Sebagai bandingan, hampir bersamaan pembinaan 48 buah hospital,” katanya.
Sementara itu, Noor Azlan berpendapt keperluan kerajaan menyemak semula kaedah penentuan harga minyak di pam dengan mengekalkan subsidi secara bersasar mengikut tahap pendapatan, menggunakan pangkalan data seperti PADU, BUDI, SARA dan STR.
“Subsidi boleh diteruskan tetapi mesti diselaraskan dengan kenaikan harga minyak global. Penyasaran dan penyaluran subsidi mesti lebih tertumpu, tidak semua warga negara Malaysia tetapi dikaitkan dengan pendapatan.
“Kita mesti beri ruang kepada kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk negara kita. Senang sama senang. Susah sama susah. Kita imbangkan keperluan dan manfaat jangka pendek dengan kepentingan pembangunan jangka panjang negara,” katanya.







