
GEMA takbir yang berkumandang bukan sahaja menandakan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, tetapi turut mengundang rasa rindu mendalam terhadap insan tersayang yang telah pergi.
Di sebalik kemeriahan hari raya, ada hati yang terusik setiap kali lafaz ‘Allahuakbar’ bergema, mengingatkan kepada suara-suara yang pernah bersama suatu ketika dahulu.
Kenangan menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa, datuk, nenek, anak atau ahli keluarga kini hanya tinggal memori yang sukar dilupakan.
Setiap pagi 1 syawal, usai menunaikan solat sunat Hari Raya, tanah perkuburan sesak dan dipenuhi ahli keluarga yang hadir membawa bunga, air mawar dan daun pandan.
Dalam suasana hening, bacaan doa dan surah suci bergema mengiringi rasa rindu yang tidak pernah padam terhadap mereka yang telah pergi sejak sekian lama mahupun yang baharu.
Ziarah kubur pada Aidilfitri tradisi sebati dalam masyarakat
Amalan ziarah kubur di bulan Syawal sudah menjadi tradisi, sebagai tanda ingatan dan kasih sayang selain menjadi peringatan tentang hakikat kehidupan yang sementara.
Bagi Affendie Sapari, 35, ziarah ke pusara anak yang tidak sempat melihat dunia menjadi detik paling menyentuh jiwa, khususnya pada pagi Syawal.
“Walaupun tidak sempat memeluk, tidak mendengar tangisan pertama, kasih terhadap anak tetap ada. Tanah perkuburan itu menjadi temapt saya dan isteri meluahkan rindu yang mendalam pada anak perempuan kami, Bella.
“Inilah ubat kami. Walaupun singkat sahaja ziarah kubur, ikatan kami sentiasa ada dan cukup kuat untuk kami kenang,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press.

Sementara itu, Sarimah Amir, 33, berkata, menziarahi pusara ayah dan abangnya merupakan perkara lazim dibuat setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Dalam bulan Syawal sama ada raya kedua atau ketiga, kami akan datang ziarah bersama ahli keluarga.
“Kehilangan mereka meninggalkan rasa sepi, pilu dan rindu yang mendalam. Semasa ayah dan abang masih ada, raya kami lebih meriah dan penuh gurau senda. Selepas mereka pergi, semuanya terasa hambar.
“Tapi ziarah kubur ini mengumpulkan kami adik-beradik dan mengeratkan lagi kebersamaan kami, “ujarnya.
Ziarah kubur pada Aidilfitri dan hari biasa ada beza?
Imam Rawatib Masjid Al Ghafur, Kampung Kinabutan Bukit Tawau, Ustaz Sukianto Launa berkata, ziarah kubur di hari raya adalah merupakan adat dan hukumnya sunat.

“Adapun keistimewaan berdoa di kubur ketika itu tidaklah berbeza ketika berdoa di hari lain, melainkan antara athar nabi ketika berziarah kubur adalah mendoakan ahli kubur tersebut. Oleh sebab itu hukum berdoa untuk penghuni kubur juga adalah sunat.
“Athar nabi tersebut adalah riwayat yang menunjukkan sunnah nabi ketika berhadapan dengan budaya masyarakat iaitu menggantikan atau mengubah budaya masyarakat yang tidak patuh syariah kepada budaya yang sejajar dengan syariah.
“Maka dengan sunnah Nabi ini, amalan ziarah kubur walaupun dilakukan dengan adat dan budaya selagi ianya tidak bertentangan dengan syariah, maka ianya adalah terangkum dalam sunnah Nabi SAW, “jelasnya.
Mengulas tentang keluarga yang memanggil ustaz atau agamawan untuk membaca doa di kubur, beliau berkata, apa sahaja doa dan ayat yang dibaca
pasti Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala padanya.
“Perkara ini tidaklah bertentangan dengan syariah bahkan dalam surah Al Maidah ayat 35, Allah SWT perintahkan untuk mencari perantara atau wasilah supaya lebih dekat kepada-NYA,” tambahnya.
Ustaz Sukianto yang juga penceramah bebas bertauliah berkata, dalam hadis Nabi antara amalan yang boleh mengalir kepada si mati daripada orang yang masih hidup ialah doa seorang anak yang soleh kepada ibu bapanya.
Akhirnya, sama ada pada hari raya atau hari biasa, tujuan utama ziarah kubur tetap tidak berubah iaitu untuk mengingati kematian, mendoakan mereka yang telah pergi dan menginsafi diri.



