KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak mengambil mudah sebarang amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Titah baginda, rakyat perlu peka dengan amaran Jabatan Pengairan dan Saliran serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan.
Baginda turut menggesa agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terpelihara.
“Rakyat hendaklah sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan, saling membantu dan prihatin terhadap golongan warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak serta mereka yang memerlukan bantuan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada sepanjang musim tengkujuh, mematuhi nasihat dan arahan kerajaan serta agensi berkaitan, dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Baginda turut menggesa penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai membuat persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, meletakkan kenderaan di kawasan selamat serta bersedia berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa.
“Segala langkah persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana, sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat Negeri Pahang sepanjang musim tengkujuh ini,” titah baginda.



