
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tertakluk kepada beberapa sekatan sepanjang menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, termasuk larangan membuat ulasan di media sosial, menerima tetamu tanpa kebenaran bertulis dan menyertai aktiviti politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, sekatan berkenaan merupakan antara syarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan dan dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau berkata, terdapat dua bahagian utama dalam surat berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan, iaitu pelaksanaan tahanan rumah selepas pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, syarat itu merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan serta lawatan, sekatan penggunaan telefon dan alat komunikasi selain kewajipan menghadiri program pemulihan.
“Berkenaan tempat tinggal, No. 11, Jalan Langgak Duta dan KDN mewartakan jalan itu. Sudah disebut tidak dibenarkan berpindah ke premis lain dan tidak dibenarkan keluar dari alamat itu melainkan dengan izin bertulis.
“Tidak dibenarkan tinggal dengan orang lain selain ahli keluarga terdiri daripada isteri-isteri, anak-anak, menantu dan cucu, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata, Najib juga tidak dibenarkan menerima tetamu tanpa kebenaran bertulis serta hanya boleh menggunakan telefon dan alat komunikasi yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi tujuan pengesahan.
Selain itu, bekas Presiden UMNO itu tidak dibenarkan mendedahkan diri dalam sebarang liputan media, membuat ulasan di media sosial, menghadiri majlis keramaian atau terbabit dalam aktiviti politik.
Katanya, syarat berkenaan dibacakan kepada Najib dua hari sebelum beliau dikeluarkan dari penjara dan dipindahkan ke kediamannya di Langgak Duta.
Mengulas permohonan tambahan Najib supaya dibenarkan menggunakan sebuah lagi kediaman, Saifuddin berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan kerana terikat dengan syarat ditetapkan Lembaga Pengampunan.
“Saya belum buat keputusan lagi. Permohonan tambahan Datuk Seri Najib memohon secara bertulis apakah boleh menambah satu rumah lagi, tetapi kita terikat dengan syarat Lembaga Pengampunan. Jadi, yang itu kita tidak dapat buat lagi,” katanya.

Tiada hukuman dua darjat
Menjawab persoalan sama ada pelaksanaan tahanan rumah itu mewujudkan hukuman dua darjat, Saifuddin menjelaskan proses berkenaan perlu dilihat berdasarkan tiga peringkat dari sudut undang-undang.
Katanya, seseorang yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman tetap mempunyai hak untuk memohon pengampunan seperti diperuntukkan undang-undang.
Peringkat kedua pula membabitkan keputusan petisyen pengampunan yang berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan, manakala peringkat ketiga ialah pelaksanaan keputusan berkenaan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Apabila sampai kepada pengampunan, di situlah jika ada petisyen pengampunan, jadi tanggungjawab dari sudut undang-undang, KDN tiada autoriti untuk menolak.
“Petak ketiga, baru KDN laksanakan dan ia mesti ikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, persepsi masyarakat berhubung perkara itu tidak dapat dielakkan, namun hak untuk memohon pengampunan terbuka kepada semua individu, manakala keputusan sama ada permohonan diluluskan atau sebaliknya terletak pada Lembaga Pengampunan.

Tiada kos tambahan kawalan tahanan rumah
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib tidak melibatkan kos tambahan kepada kerajaan bagi tujuan kawalan keselamatan.
Katanya, tiga pegawai penjara ditempatkan bagi setiap syif untuk menjalankan pemantauan, selain bantuan anggota polis.
“Di rumah, tiga pegawai penjara satu syif, ada polis. Cuma tukar tempat, jadi itu tiada kos tambahan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, kemudahan yang dinikmati Najib sebagai bekas Perdana Menteri tertakluk kepada pekeliling dan keputusan Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, dari segi pencen, beliau memaklumkan bayaran berkenaan dihentikan, manakala kemudahan lain masih boleh dinikmati tertakluk kepada ketetapan sedia ada.


