
SIBU – Tindakan polis memeriksa sebuah kontena di jeti persendirian Jalan Sungai Maaw, Sungai Batang Rajang membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai kira-kira RM9.64 juta pada Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 8 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang ditemukan di dalam kontena berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sibu ketika menjalankan Op Taring Pensura pada 7 November lalu.
“Pihak pasukan operasi yang menggunakan bot ronda PGR 8 telah menyerbu dan memeriksa sebuah jeti persendirian selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki berhampiran sebuah kontena dalam keadaan mencurigakan.

Katanya lagi, lelaki berkenaan kemudian diarahkan membuka kontena tersebut sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dipercayai belum dibayar cukai.
“Lelaki itu juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan berkenaan ketika diminta berbuat demikian oleh anggota operasi,” ujarnya lagi.
Susulan penemuan tersebut, lelaki berkenaan ditahan manakala kesemua barang kes dirampas bagi membantu siasatan.
Saifullizan berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM9,643,952.
Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) akta berkenaan yang berkaitan dengan kesalahan memiliki, menyimpan atau menyembunyikan barangan tidak berkastam atau barang larangan.



