
KUCHING – Tujuh sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa dari Jepun, China, Indonesia dan Austria ditumpaskan selepas polis menyerbu tujuh premis di lima kawasan sekitar Sarawak menerusi Op Magpie 01/2026.
Operasi yang dijalankan dari 19 hingga 31 Oktober lalu itu membawa kepada penahanan 42 individu, termasuk 28 warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan beroperasi melalui pusat panggilan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, serbuan dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak di sekitar Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu.
“Tujuh premis yang diserbu terdiri daripada dua rumah banglo, tiga rumah teres dan dua unit pangsapuri yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.

Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing yang terdiri daripada 18 warga China, lapan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Myanmar.
“Sindiket terbabit dipercayai menjalankan pelbagai kegiatan penipuan, termasuk pelaburan tidak wujud membabitkan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian tidak wujud serta pengurusan kewangan hasil penipuan,” katanya kepada sidang media berkenaan Op Magpie 01/2026 pada Khamis.
Polis turut merampas pelbagai peralatan dan aset yang dianggarkan bernilai RM229,500 sepanjang operasi berkenaan.
Rampasan itu melibatkan 33 komputer riba, empat set komputer, 76 telefon bimbit, lima set peranti Unifi, satu set Starlink serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Saifullizan berkata, sebanyak 33 individu telah didakwa di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Daripada jumlah yang didakwa, 17 individu mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 setiap seorang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu dan pakatan jenayah.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan Malaysia sebagai pusat operasi bagi memperdaya mangsa di luar negara,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan dalang utama, rangkaian kewangan serta pihak yang bersubahat dalam kegiatan penipuan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada terhadap premis kediaman atau bangunan yang mencurigakan dan dipercayai digunakan sebagai pusat operasi penipuan dalam talian.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada JSJK Sarawak menerusi talian 011-62890089 bagi membantu tindakan lanjut polis.



