PUTRAJAYA – Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dijangka dimuktamadkan oleh Peguam Negara dalam tempoh terdekat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan isu berkaitan laporan tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Tidak (dibincangkan). Perdana Menteri dalam sesi soal jawab semalam telah maklumkan bahawa laporan daripada Peguam Negara (berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM) akan disiapkan dalam masa satu atau dua hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan bahawa laporan siasatan berkenaan dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua hari dan berkemungkinan dibentangkan minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan yang diketuai Peguam Negara itu tidak akan ditangguhkan dan akan dijadikan asas bagi sebarang tindakan susulan termasuk cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).




