
PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan sekitar Jun ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini membuat keputusan bahawa RUU terbabit akan dibawa (untuk dibentangkan) semula dalam sidang mesyuarat (Dewan Rakyat) yang berikutnya, sekitar Jun ini.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Terdahulu, RUU berkenaan gagal diluluskan apabila tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen sebagaimana yang disyaratkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan undian belah bahagian diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, dengan 146 Ahli Parlimen menyokong, 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, Jemaah Menteri turut menerima penjelasan daripada Ketua Whip kerajaan, Fadillah Yusof, berhubung lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak berada dalam Dewan ketika pengundian dijalankan.
“Seperti yang rakan media tahu, di pihak Pakatan Harapan kehadiran Ahli Parlimen adalah 100 peratus. Lapan Ahli Parlimen (yang tidak hadir) sudah dinyatakan siapa mereka,” katanya.
Beliau berkata, Kabinet turut dimaklumkan mengenai kemungkinan wujud kekeliruan dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang berhubung tujuan sebenar pindaan tersebut.
“Perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan ditegaskan bahawa pindaan berkenaan bertujuan memastikan tidak berlaku keadaan di mana seseorang Perdana Menteri boleh berasakan dirinya boleh berkuasa tanpa had tempoh.
“Jadi kerajaan berharap pada sidang akan datang, pembangkang dapat bersama menyokong pindaan Perlembagaan yang disifatkan tidak bersifat partisan dan menguntungkan demokrasi negara,” katanya.
Menjawab soalan sama ada tindakan akan dikenakan terhadap lapan Ahli Parlimen terlibat, Fahmi berkata, dua daripadanya telah mengemukakan surat rasmi penjelasan kepada Ketua Whip kerajaan.
“Jadi kita nantikan lagi enam yang lain,” katanya.




