
PAITAN – Seramai 36 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan jabatan kerajaan digerakkan bagi menjayakan operasi pembersihan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan memohon bantuan pada jam 10.26 pagi sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
“Pasukan pertama tiba di lokasi pada jam 11.07 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 50 kilometer untuk sampai ke sekolah berkenaan.
“Keadaan di lokasi dilaporkan terkawal sepenuhnya pada jam 11.40 pagi, namun kerja-kerja pembersihan masih diteruskan oleh anggota terlibat sehingga selesai.
“Operasi pembersihan tersebut diketuai oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Mohd. Arshad Kader dengan memfokuskan kepada kawasan bilik darjah dan ruang sekolah yang terjejas akibat sisa banjir,” katanya.

Selain JBPM yang menghantar empat anggota, operasi tersebut turut mendapat kerjasama padu daripada enam anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Turut terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga anggota RELA, dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta 10 kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM).
Bagi kelancaran logistik dan pergerakan di kawasan mencabar, operasi tersebut turut menggunakan sebuah jentera jenis Toyota Vigo sebagai kenderaan sokongan.
JBPM Sabah dalam kenyataan sama menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti yang terjejas akibat bencana alam sentiasa terjaga.
Langkah proaktif itu juga selaras dengan moto jabatan iaitu ‘Cepat dan Mesra’ dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan pedalaman.





