KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan berusaha mempercepatkan penubuhan Pasukan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih awal daripada sasaran asal 2030, susulan peningkatan ancaman serangan siber terhadap sistem pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian sudah memaklumkan kepada kerajaan mengenai keperluan itu berikutan ancaman siber yang semakin kerap, canggih dan serius.
“Di peringkat pertahanan, kita memang sentiasa berdepan serangan seperti ini. Ia bukan perkara baharu kepada kita. Dengan kemajuan teknologi, serangan ini boleh menjadi lebih serius dan agresif,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang turut bertindak sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Perlis.
Mohamed Khaled berkata, keputusan menubuhkan Pasukan Siber ATM khusus sudah dibuat dan pasukan itu akan melengkapkan keupayaan ATM bersama Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Secara tradisinya, peperangan berlaku di darat, laut atau udara. Namun, hari ini kita turut berdepan peperangan siber. Atas sebab itu, kita berpendapat pasukan khusus diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, satu pasukan teras sudah ditubuhkan bagi mengkaji struktur organisasi serta keperluan penubuhan pasukan berkenaan.
Menurutnya, keupayaan siber ketenteraan ketika ini sudah wujud dalam setiap cabang perkhidmatan dan unit ATM, namun perlu disatukan di bawah satu pasukan khusus yang lebih tersusun, kuat dan berkesan.
Ditanya sejauh mana lebih awal pasukan itu dapat ditubuhkan, beliau tidak memberikan tarikh baharu, namun berkata, kementerian akan mendapatkan sokongan kerajaan bagi memenuhi keperluan anggota, peralatan dan kemudahan lain.
Mengenai perkongsian risikan, Mohamed Khaled berkata, keupayaan risikan akan menjadi antara komponen penting dalam pasukan itu, namun enggan mengulas lanjut atas faktor strategi ketenteraan dan keselamatan.



