Gambar hiasan
MADRID – Kerajaan Sepanyol mendesak TikTok menggantung operasinya di negara itu sehingga platform media sosial berkenaan menghapuskan sepenuhnya kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Desakan itu susulan laporan penyiasatan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Maldita.es, yang membongkar kewujudan 1,183 hantaran lucah membabitkan kanak-kanak dengan jumlah tontonan mencecah puluhan juta.
Menteri Belia Sepanyol, Sira Rego berkata, pihaknya sudah mengemukakan rayuan rasmi kepada pihak pendakwa raya dan Agensi Perlindungan Data untuk mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap syarikat teknologi itu.
Laporan itu mendedahkan video eksploitasi seksual kanak-kanak di platform berkenaan ditonton sekurang-kurangnya 48 juta kali, selain dikongsi dan dikomen lebih 26,000 profil pengguna.
Maldita.es turut mengesahkan TikTok hanya mengehadkan dua kata kunci carian yang dikenal pasti di Sepanyol, namun carian dari negara Eropah lain masih memberi akses kepada kandungan terlarang itu.
Desakan terbaru ini hadir beberapa bulan selepas pentadbiran Perdana Menteri Pedro Sanchez meminta siasatan dijalankan ke atas X, Meta dan TikTok atas dakwaan penyebaran bahan eksploitasi kanak-kanak janaan kecerdasan buatan (AI), ketika kawal selia Eropah semakin memperketat pengawasan terhadap gergasi teknologi.


