
PENGAMPUNAN bersyarat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penghapusan kesalahan jenayah atau pemutihan rekod kehakiman bekas Perdana Menteri itu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan pengampunan berkenaan tidak memadamkan sabitan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International, sebaliknya hanya melibatkan pengurangan hukuman serta kebenaran menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Menurutnya, rakyat perlu memahami bahawa pengampunan tidak bermaksud seseorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah secara automatik menjadi tidak bersalah.
“Penjara bertukar menjadi rumah, tetapi sabitan jenayah tidak bertukar menjadi rekod kesucian.
“Inilah hakikat yang rakyat mesti faham dan jangan sesekali lupa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, persoalan berkaitan amanah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih perlu diberikan perhatian meskipun Najib telah menerima pengampunan.
Mahfuz turut membangkitkan kebimbangan apabila bekas Presiden UMNO itu diraikan oleh pemimpin UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah pengampunan berkenaan merupakan satu kemenangan politik.
Katanya, UMNO berhak memberikan sokongan kepada bekas presidennya, namun parti itu juga perlu menjelaskan pengajaran yang telah diambil daripada skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Apakah UMNO benar-benar mahu membina budaya politik baharu yang menjunjung integriti atau sekadar mahu mengembalikan kuasa tanpa menyelesaikan persoalan budaya dan amalan politik masa lalu?,” soalnya.
Beliau berkata, hasrat UMNO untuk kembali menguasai Putrajaya perlu disertai jaminan bahawa sejarah penyalahgunaan kuasa dan skandal kewangan negara tidak akan berulang.
Tambahnya, rakyat tidak seharusnya membiarkan pengampunan disalahertikan sebagai penghapusan kesalahan sehingga individu yang pernah disabitkan kesalahan jenayah diraikan sebagai wira politik.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan pihaknya menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, namun penghormatan terhadap institusi berkenaan tidak bermaksud rakyat perlu melupakan keputusan mahkamah.
“Negara ini tidak boleh bergerak ke hadapan dengan budaya politik yang mengajar rakyat bahawa kesalahan boleh dilupakan apabila pelakunya kembali mendapat sokongan dan kuasa.
“Jangan sampai Malaysia menjadi negara yang menghukum perasuah di mahkamah, tetapi meraikannya di pentas politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Putrajaya bukan hadiah kepada mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya amanah rakyat yang perlu diberikan kepada pemimpin berdasarkan rekod integriti dan kebertanggungjawaban mereka.
“Putrajaya bukan hadiah untuk sesiapa. Putrajaya ialah amanah rakyat. Dan amanah tidak boleh diserahkan tanpa mengambil kira rekod integriti mereka yang mahu memegangnya,” katanya.


