Mohamad Sabu
JASIN – Kerajaan mengambil langkah awal menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku yang mampu menampung keperluan negara sehingga lapan bulan bagi menghadapi risiko kekurangan bekalan susulan fenomena El Nino yang diramal berlaku mulai Disember ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu penting bagi memastikan bekalan ikan kekal stabil selain mengurangkan kesan terhadap pendapatan nelayan.
“Apabila laut menjadi panas, ikan yang berada di tepi pantai akan bergerak ke tengah. Keadaan ini menyebabkan hasil tangkapan mungkin berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Melaka di Taman Panglima Pak, Merlimau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Mohamad berkata, fenomena itu dijangka memberi kesan lebih ketara di utara Semenanjung, khususnya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang apabila peningkatan suhu laut menyebabkan ikan di pesisir bergerak ke perairan lebih dalam.
Sehubungan itu, LKIM dan pengusaha pusat penyimpanan sejuk beku swasta diminta meningkatkan pembelian dan penyimpanan ikan ketika hasil tangkapan masih tinggi.
Beliau berkata, peningkatan mendadak pendaratan ikan kembung di Kuala Muda dan Sungai Petani, Kedah ketika ini memberi peluang kepada LKIM menambah stok pada kos lebih rendah.
“Sekarang ini ikan kembung naik begitu banyak di Kuala Muda dan Sungai Petani. Kalau ikan itu dijual murah sekarang, kita minta LKIM beli dan masukkan ke pusat sejuk beku. Apabila berlaku kekurangan nanti, kita keluarkan semula.
“Stok ini, insya-Allah, cukup untuk lapan bulan,” katanya.
Mohamad berkata, nelayan pesisir antara golongan paling berisiko kerana kebanyakan mereka bergantung kepada sumber perikanan di perairan cetek dengan kedalaman sekitar lima hingga 10 meter.
Pemantauan rapi turut dilaksanakan bukan sahaja di negeri utara, malah membabitkan Melaka dan Johor, manakala Sabah dan Sarawak diramal kurang menerima kesannya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata persatuan nelayan di Melaka menerima manfaat RM140,000 menerusi pengagihan semula keuntungan daripada aktiviti berkaitan industri perikanan.



