
LUMUT – Selain Pulau Langkawi yang terkenal sebagai pulau bebas cukai, Pulau Pangkor di Perak turut menerima pengiktirafan sama dan kini giat diperkasa sebagai antara destinasi tumpuan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerajaan Negeri Perak menerusi satu kenyataan memaklumkan, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Pulau Pangkor sebagai produk pelancongan utama negeri, termasuk strategi promosi berskala besar serta penambahbaikan kemudahan pelancongan.
Menurutnya, pendekatan itu digerakkan melalui agensi pelancongan negeri, Tourism Perak dengan memberi fokus kepada promosi antarabangsa, pembangunan infrastruktur dan penganjuran acara berimpak tinggi.
“Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa dengan memperluas promosi ke pasaran serantau seperti Indonesia, Singapura, China dan India.
“Dalam masa sama, kemudahan pelancongan di sekitar Pulau Pangkor terus dipertingkatkan termasuk penambahbaikan fasiliti awam serta promosi digital yang lebih agresif,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, kombinasi promosi strategik, peningkatan kemudahan dan penganjuran acara berskala besar dijangka memberi impak signifikan terhadap pertumbuhan sektor pelancongan negeri sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Kerajaan negeri optimis pendekatan bersepadu itu mampu mengukuhkan kedudukan Perak sebagai antara destinasi pelancongan utama negara menjelang 2026.
Antara tarikan utama yang bakal mewarnai Pulau Pangkor tahun ini ialah penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti The Chapman’s Challenge 2026 dan Opera in Paradise 2026 yang dijadual berlangsung masing-masing pada Mei dan Oktober.
The Chapman’s Challenge merupakan acara sukan lasak yang menggabungkan larian, trekking hutan dan renang laut, dijangka menarik penyertaan atlet tempatan serta luar negara.
Sementara itu, Opera in Paradise pula adalah persembahan muzik klasik bertaraf dunia yang menggabungkan keindahan alam semula jadi pulau dengan seni persembahan berprestij, sekali gus memperkukuhkan imej Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan premium sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.






