
SANDAKAN – Hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir serta beberapa jalan utama dinaiki air.
Bagi situasi banjir, kawasan yang terlibat ialah Kampung Pangeran dan Taman Fajar yang kini berada dalam pemantauan serta tindakan lanjut pihak berkuasa.
Selain itu, beberapa jalan turut dilaporkan dinaiki air, antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, pihaknya telah menjalankan pemantauan dan tindakan segera di semua lokasi terjejas.
“Anggota APM Sandakan terus bersiap siaga bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya terjamin,” menurut kenyataan itu, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di beberapa lokasi, antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Monica dan sekitar Bandar Sandakan, manakala di Taman Mutiara serta GIATMARA Batu Sapi masih dalam tindakan anggota di lapangan.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.



