
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tahap pemindahan penduduk di Tebing Barat yang diduduki kekal tinggi, dengan lebih 900 rakyat Palestin diusir dari kediaman dan komuniti mereka sejak awal tahun 2026 susulan peningkatan keganasan peneroka Israel serta aktiviti perobohan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, berdasarkan data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), kebanyakan pemindahan itu berpunca daripada keganasan peneroka, sekatan akses serta perobohan struktur kediaman.
“Sejak awal 2026, lebih 900 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka, kebanyakannya akibat keganasan peneroka dan sekatan pergerakan yang diikuti dengan perobohan,” katanya pada sidang media, semalam, lapor Anadolu.
Menurut beliau, dalam tempoh dua minggu bermula 20 Januari hingga Isnin lalu, OCHA merekodkan lebih 50 serangan oleh peneroka Israel yang mengakibatkan kecederaan, kerosakan harta benda atau kedua-duanya.
Dujarric berkata, OCHA kini sedang menjalankan penilaian awal terhadap kerosakan dan keperluan susulan insiden berkenaan bagi menyokong tindak balas kemanusiaan oleh PBB dan rakan-rakan kerjasama.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, dengan laporan kehilangan nyawa yang berterusan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, puluhan kematian dan kecederaan direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, selain ramai mangsa masih tidak dapat diakses oleh pasukan kecemasan.
“Mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, semua pihak bertanggungjawab melindungi orang awam serta infrastruktur awam,” katanya.
Mengulas mengenai pemindahan perubatan, Dujarric berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama rakan kerjasama telah menyokong pemindahan sekurang-kurangnya lapan pesakit dan 17 pengiring dari Gaza ke Mesir melalui lintasan Rafah, selain tujuh pesakit dan 14 pengiring yang dipindahkan sebelum ini.
Beliau menambah, lebih 18,500 pesakit di Gaza masih memerlukan rawatan khusus yang tidak tersedia di wilayah itu, sekali gus mengulangi gesaan supaya laluan rujukan perubatan ke Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dibuka semula.








